KUANTAN - Pahang merekodkan kutipan hasil RM921.72 juta sehingga 26 Ogos lalu iaitu 72.03 peratus daripada sasaran kutipan tahun ini, RM1.279 bilion.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi itu menunjukkan kedudukan kewangan negeri terus kukuh dan berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran ditetapkan.
Menurutnya, Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri tahun lalu juga meningkat kepada RM71 bilion berbanding RM68.8 bilion tahun 2024.
"Nilai pelaburan komited pula RM11.47 bilion (70.85 peratus) berbanding sasaran RM16.2 billion sehingga Ogos ini.
"Daripada jumlah itu, pelaburan direalisasikan yang direkodkan RM1.044 bilion," katanya ketika Mesyuarat ke-2 Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) berhubung pencapaian utama kerajaan negeri dalam aspek ekonomi, hasil serta pelaksanaan agenda Pahang 1st dan sejauh mana ia memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
Wan Rosdy berkata, pelaksanaan agenda Pahang 1st pula berjaya menghasilkan impak signifikan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai kejayaan yang dicapai sebelum ini.
"Antaranya Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik peringkat kebangsaan dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mata berbanding Gred Purata Kebangsaan (4.42 mata) dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
"Seramai 16,822 calon layak mendapat sijil dan 671 calon memperoleh keputusan semua A.
"Bagi pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 pula, Pahang mencatat rekod Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) tertinggi negeri iaitu 3.09 mata," jelasnya.
Wan Rosdy menjelaskan, hasil positif daripada indikator kesejahteraan pula meliputi penoktahan miskin tegar dan memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus setakat pertengahan tahun ini.
"Kadar pengangguran di negeri ini pada suku kedua tahun 2026 pula hanya 2.0 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar nasional 3.0 peratus.
"Pahang juga merupakan negeri kedua terendah kadar pengangguran bersama Melaka selepas Putrajaya," ujarnya.
Tambah beliau lagi, lebih 300,000 rakyat menerima manfaat bantuan kerajaan negeri dan 2,000 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma disediakan untuk golongan miskin tegar, selain penawaran rumah mampu milik bersubsidi tinggi kepada rakyat seperti PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang.
Menurutnya, pengukuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat terbukti apabila Pahang muncul sebagai negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia dalam Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817.
Katanya, fokus kepada kesejahteraan bandar dan komuniti diketengahkan apabila bandar Lipis dan Raub dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia tahun ini.
"Prestasi ekonomi dan sosial serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan negeri terus menyalurkan manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur (IM) Pahang.
"Bermula pada tahun 2024 sehingga 2026, kerajaan negeri telah memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM173.93 juta untuk pelaksanaan inisiatif itu," tambah beliau.






