
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang merekodkan prestasi ekonomi dan kedudukan kewangan yang kukuh apabila hasil negeri kini mencecah RM921.72 juta, iaitu 72.03 peratus daripada sasaran RM1.279 bilion, bagi tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu selari dengan prestasi ekonomi negeri yang terus memberangsangkan termasuk peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM71 bilion pada 2025 berbanding RM68.8 bilion pada 2024.
Beliau berkata, sehingga bulan ini, Pahang merekodkan pelaburan komited sebanyak RM11.47 bilion atau 70.85 peratus daripada sasaran RM16.2 bilion manakala pelaburan yang direalisasikan direkodkan sebanyak RM1.044 bilion.
“Prestasi ekonomi dan sosial serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan negeri terus menyalurkan manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur (IM) Pahang,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd. Sharim M. Zain pada Persidangan Dewan Negeri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan agenda Pahang 1st turut memberi impak ketara terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, termasuk pencapaian pendidikan yang membanggakan.
Katanya, Pahang muncul negeri kedua terbaik di peringkat kebangsaan bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 berbanding Gred Purata Kebangsaan 4.42.
“Sebanyak 96.52 peratus calon atau 16,822 calon layak mendapat sijil manakala 671 calon memperoleh keputusan semua A. Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) pula dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mencatatkan GPS 1.06,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pencapaian pendidikan turut disokong keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 apabila Pahang mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) tertinggi negeri iaitu 3.09.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat pula, beliau berkata, kemiskinan tegar berjaya dinoktahkan selain kadar kemiskinan dipangkas sebanyak 30 peratus setakat pertengahan tahun ini.
“Kadar pengangguran pada suku kedua 2026 pula hanya 2.0 peratus berbanding kadar nasional 3.0 peratus manakala lebih 300,000 rakyat menerima manfaat bantuan Kerajaan Negeri.
“Selain itu, sebanyak 2,000 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma disediakan untuk golongan miskin tegar selain penawaran rumah mampu milik bersubsidi tinggi menerusi PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang,” katanya.
Beliau berkata, Pahang turut muncul negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia berdasarkan Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817. Dua bandar di negeri ini, iaitu Lipis dan Raub, turut dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM173.93 juta bagi pelaksanaan IM Pahang sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2024 hingga tahun ini. – UTUSAN
The post Prestasi ekonomi Pahang terus kukuh appeared first on Utusan Malaysia.





