
KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi saluran ejen merekodkan kutipan zakat berjumlah RM139.9 juta sepanjang tahun 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, berkata, kutipan itu meningkat 16 peratus berbanding RM121.6 juta pada tahun sebelumnya.
“Kutipan wakaf menerusi saluran sama turut meningkat enam peratus kepada RM2.18 juta berbanding RM2.06 juta pada 2024.
“Peningkatan itu membuktikan peranan penting ejen kutipan dalam memperluaskan saluran pembayaran zakat dan wakaf kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat dan Wakaf 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 20 ejen kutipan zakat dan wakaf terbaik menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mengulas lanjut Dr. Zulkifli berkata, ejen kutipan merupakan rakan strategik kepada institusi zakat dan wakaf dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menunaikan ibadah tersebut.
“Dalam era digital hari ini, masyarakat semakin menuntut ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan daripada setiap institusi. Institusi zakat juga tidak terkecuali.
“Oleh itu, kita perlu terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan integriti, memperluas penggunaan teknologi dan memastikan setiap urusan dilaksanakan dengan penuh amanah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kutipan zakat ejen PPZ-MAIWP 2025 cecah RM139.9 juta appeared first on Kosmo Digital.





