johardy05/11/2026 - 17:33 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menambah pegangan dalam Johor Plantations Group Berhad (JPG) dengan pertambahan bersih 23.77 juta saham sejak awal Oktober menjadikan pegangannya kini 19.161%.
KWSP kekal sebagai pemegang saham kedua terbesar JPG selepas Kulim (Malaysia) Berhad.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KWSP membeli tambahan 727,400 saham JPG di pasaran terbuka pada 2 November 2026.
Pembelian terbaharu itu meningkatkan jumlah pegangan langsungnya kepada 477,526,352 saham.
Ia membabitkan tiga transaksi sebanyak 607,800 saham, 73,500 saham dan 46,100 saham melalui akaun penama Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd.
Semua transaksi berkenaan direkodkan sebagai kepentingan langsung KWSP.
Tambah bersih 23.04 juta saham sepanjang Oktober
Semakan rekod perubahan pegangan menunjukkan KWSP membeli sejumlah 23.18 juta saham sepanjang Oktober berbanding pelupusan 137,600 saham pada 1 Oktober.
Ini memberikan pertambahan bersih sebanyak 23.04 juta saham bagi bulan tersebut sebelum mengambil kira pembelian terbaharu pada 2 November.
Antara pembelian terbesar sepanjang Oktober ialah 4.88 juta saham pada 12 Oktober, 4.80 juta saham pada 14 Oktober dan 5.07 juta saham pada 15 Oktober.
Dalam pengumuman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP memaklumkan pengurus dananya menjual 50,000 saham JPG di pasaran terbuka pada 4 November.
Selepas transaksi itu, jumlah pegangan KWAP ialah 136.89 juta saham atau 5.493%, merangkumi kepentingan langsung 3.305% dan tidak langsung 2.188%. - DagangNews.com




