johardy27/10/2026 - 14:13 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menyesuaikan pendekatannya dengan perubahan corak pekerjaan bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan sambil terus memberikan pulangan mampan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 KWSP pada Isnin, beliau berkata, aspirasi institusi itu selepas ulang tahun berkenaan perlu melangkaui pertumbuhan saiznya untuk menjadi lebih relevan, inklusif dan memberikan impak lebih besar.
Perubahan itu perlu kekal berpaksikan tanggungjawab teras KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli, katanya.
“Sebuah institusi persaraan moden perlu melihat ahli bukan sekadar sebagai pencarum tetapi sebagai insan. Insan yang mempunyai aspirasi dan tanggungjawab.
"Insan yang membesarkan anak sambil menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia. Insan yang perjalanan hidupnya tidak semestinya mengikut laluan yang lurus dan keperluannya berubah dari semasa ke semasa,” katanya, menurut laporan Bernama.
Justeru, beliau berkata, peranan KWSP perlu terus berkembang daripada simpanan kepada jaminan kewangan dan seterusnya kesejahteraan, serta daripada berkhidmat untuk ahli secara individu kepada membantu membina negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Kecukupan simpanan persaraan menyokong daya tahan ekonomi
Dari perspektif kerajaan, Amir Hamzah berkata, kecukupan simpanan persaraan berkait rapat dengan daya tahan negara, manakala jaminan kewangan isi rumah menyokong kestabilan ekonomi dan simpanan jangka panjang menjadi asas kepada pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada 2023 berkata, pengalamannya di institusi itu dan dalam kerajaan memberikannya dua perspektif mengenai peranan KWSP.
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, institusi berkenaan perlu terus berkembang seiring dengan Malaysia sambil berpegang pada amanah yang diberikan kepadanya dan tanggungjawab terhadap ahli.
Sepanjang 75 tahun lalu, beliau berkata, KWSP berkembang bersama negara dengan mengharungi krisis ekonomi, perubahan teknologi, peralihan corak pekerjaan serta gangguan akibat pandemik COVID-19.
“Setiap tempoh membawa tekanan dan pilihan yang berbeza. Namun, satu tanggungjawab tetap kekal iaitu melindungi masa depan kewangan rakyat Malaysia sambil memastikan KWSP cukup berdaya tahan untuk memikul tanggungjawab itu daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.
KWSP meraikan ulang tahun ke-75 dengan pelancaran buku khas The EPF Story, syiling peringatan dan dokumentari yang mengabadikan perjalanan, legasi serta komitmen berterusan institusi ini kepada ahli. - DagangNews.com






