amree18/09/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — KYM Holdings Berhad mengambil langkah mempelbagaikan perniagaan daripada segmen pembuatan pembungkusan kepada sektor perkhidmatan kesihatan menerusi cadangan pengambilalihan 70% ekuiti Regen Healthcare Sdn Bhd bernilai RM33.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, KYM Healthcare Sdn Bhd, memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Dr Rajesh Singh Karnail Singh bagi pengambilalihan 700,000 saham biasa dalam Regen.
Nilai pertimbangan pengambilalihan itu terdiri daripada bayaran awal sebanyak RM9.1 juta pada tarikh penyelesaian, manakala baki RM24.4 juta akan ditentukan berdasarkan mekanisme pertimbangan tambahan yang bergantung kepada pencapaian purata keuntungan selepas cukai (PAT).
"Cadangan tersebut turut membabitkan kepelbagaian aktiviti perniagaan kumpulan untuk merangkumi penyediaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan pakar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kumpulan kepada aktiviti pembuatan pembungkusan," jelas kenyataan KYM.
Ditubuhkan pada 2015, Regen merupakan penyedia perkhidmatan kesihatan khusus dalam rawatan ortopedik, pemulihan sukan dan rehabilitasi otot, dengan operasi ketika ini merangkumi sebuah klinik pakar, dua pusat fisioterapi dan satu pusat penjagaan ambulatori.
Dari segi prestasi kewangan, Regen mencatatkan keuntungan selepas cukai kira-kira RM1.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding pendapatan sebanyak RM11.3 juta, selepas merekodkan kerugian bersih pada tahun kewangan 2023.

Sebagai sebahagian daripada kesinambungan operasi, Dr Rajesh akan mengekalkan 30% kepentingan dalam Regen dan dijangka memeterai perjanjian perkhidmatan sekurang-kurangnya lima tahun sebagai Pengarah Perubatan Kumpulan, selain pelan penggantian kepimpinan.
"Had maksimum pertimbangan sebanyak RM33.5 juta itu turut memberikan siling kewangan yang jelas bagi urus niaga berkenaan, sekali gus mengehadkan pendedahan KYM terhadap sebarang risiko peningkatan nilai pengambilalihan," tambah kumpulan berkenaan.
Jelasnya, langkah memasuki sektor kesihatan itu dibuat ketika prospek perkhidmatan kesihatan swasta negara disokong beberapa faktor, termasuk penuaan populasi, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCR) serta inisiatif nasional seperti Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026**.
Pertimbangan pengambilalihan akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman atau pinjaman bank, manakala cadangan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham KYM dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kemudian.
Justeru ujar kumpulan itu, sekiranya semua syarat dan kelulusan berkaitan dipenuhi tanpa sebarang halangan, KYM menjangkakan keseluruhan cadangan korporat itu dapat diselesaikan pada suku pertama 2027. - DagangNews.com



