amree15/09/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept — Ocean Vantage Holdings Berhad meraih sokongan pemegang saham bagi meneroka sektor pembinaan melalui pengambilalihan Bina Gemilang Bersatu Sdn Bhd (BGB) bernilai RM10 juta.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, semua resolusi yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 September 2026 berjaya diluluskan menerusi pengundian.
Berdasarkan keputusan pengundian tersebut, resolusi pertama mengenai pengambilalihan BGB diluluskan dengan memperoleh sokongan 73 pemegang saham mewakili 99.9765% daripada saham yang mengundi.
"Cadangan ini membabitkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat itu daripada Kenny Ronald Ngalin dan George Henry dengan nilai pembelian RM10 juta," tambah Ocean Vantage.
Nilai pengambilalihan tersebut ujar kumpulan berkenaan, akan diselesaikan dengan sepenuhnya menerusi langkah penerbitan sejumlah 50 juta saham baharu pada harga terbitan 20 sen sesaham.
Pada masa sama katanya, pemegang saham kumpulan itu turut meluluskan cadangan mempelbagaikan perniagaan sedia ada bagi merangkumi sektor pembinaan serta segala aktiviti yang berkaitan.

Resolusi kedua tersebut menerima sokongan 74 pemegang saham mewakili 99.9766% saham, menunjukkan tahap persetujuan hampir sama terhadap langkah strategik Ocean Vantage dalam tempoh jangka panjang.
"Cadangan pengambilalihan BGB dilihat sebagai langkah perluasan sumber pendapatan dengan memasuki sektor pembinaan selain mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti perniagaan sedia ada," katanya.
Usaha itu membolehkan pemerolehan kepentingan dalam BGB tanpa penggunaan wang tunai, sebaliknya melalui penerbitan saham baharu kepada penjual sebagai balasan kepada nilai pembelian RM10 juta.
Dengan kelulusan pemegang saham, Ocean Vantage boleh meneruskan langkah korporat berkaitan pengambilalihan BGB dan penerokaan ke sektor pembinaan, tertakluk kepada pemenuhan syarat.
Penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G) di Sarawak itu yakin dapat membuka aliran hasil baharu susulan penurunan kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan serta pengurusan projek.
Keputusan EGM itu turut disahkan oleh Aegis Communication Sdn Bhd selaku pemerhati bebas yang dilantik syarikat, manakala mesyuarat berlangsung di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur. - DagangNews.com





