amree27/08/2026 - 19:19 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos – Lonjakan aktiviti perniagaan segmen perkhidmatan pengangkutan antarabangsa menjadi pemacu utama yang berjaya meningkatkan hasil FM Global Logistics Holdings Berhad.
Ia naik 15% kepada RM265.9 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026 (4QFY26) dengan prestasi cemerlang ini dicapai meskipun kumpulan terpaksa mendepani pelbagai cabaran geopolitik global.
Kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek prestasi perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 bagi mengharungi segala isu dan ketidaktentuan pasaran tersebut.
"Keyakinan ini bersandarkan kepada asas pelanggan yang pelbagai serta kedudukan pasaran kukuh setelah bertapak lama di rantau Asia Tenggara," jelas FM Global Logistics kepada Bursa Malaysia.
Melangkah ke hadapan, kumpulan komited memperkukuh kedudukana dengan memberi tumpuan perluasan asas pelanggan dan peningkatan kecekapan operasi, disokong rapat oleh pengurusan kos yang berdisiplin.
Berdasarkan laporan kewangan interim, segmen perkhidmatan pengangkutan antarabangsa mencatatkan sumbangan hasil kukuh RM205.2 juta bagi suku dalam tinjauan, iaitu peningkatan sebanyak 23%.
Sebaliknya, segmen logistik domestik mengalami penyusutan 4% kepada RM60.7 juta namun pertumbuhan rancak melonjakkan hasil keseluruhan suku keempat daripada RM230.5 juta kepada RM265.9 juta.
Operasi Di Malaysia Kekal Penyumbang Terbesar
Seiring dengan lonjakan ini, keuntungan sebelum cukai (PBT) FM Global Logistics bagi suku keempat meningkat 41% kepada RM15,517,000 berbanding RM10,990,000 pada suku keempat tahun sebelumnya.
"Kecekapan ini menyaksikan pertumbuhan untung selepas cukai (PAT) sebanyak 34% kepada RM11,681,000 dengan untung bersih yang boleh diagihkan naik 28% kepada RM10,305,000," tambah kumpulan tersebut.
Bagi prestasi terkumpul 12 bulan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), ia mencatatkan hasil kumulatif stabil pada paras RM949,250,000 berbanding RM952,780,000 pada tahun kewangan 2025 (FY25).
Walaupun susut di bawah 1%, PBT tahunan keseluruhan bagi FY26 melonjak 11% kepada RM52,945,000, dan membuktikan keberkesanan langkah pengoptimuman operasi dalam mengekalkan margin keuntungan.
Ujarnya, PAT tahunan terkumpul FM Global Logistics turut meningkat kira-kira 12% kepada sebanyak RM39,417,000 dan sekali gus menambahkan pendapatan sesaham (EPS) asas syarikat kepada 6.35 sen.
"Operasi logistik di Malaysia kekal penyumbang geografi terbesar dengan hasil luaran sebanyak RM619,027,000, diikuti oleh Australia (RM93,507,000) dan Indonesia (RM68,315,000)," katanya.
Sebagai ganjaran kepada pelabur, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham** bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.- DagangNews.com






