hamden07/08/2026 - 12:55 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sabah dan Sarawak dijangka menjadi negeri yang paling teruk terjejas akibat fenomena El Niño yang menyebabkan suhu meningkat berpanjangan, menurut AmInvestment Bank (AmInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu seterusnya memberi kesan kepada kualiti buah sawit di kedua-dua negeri berkenaan apabila suhu tinggi berpanjangan boleh mengurangkan hasil buah tandan segar (BTS), sekali gus menyokong kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).
AmInvest berkata, Sarawak berisiko menerima impak yang lebih teruk berikutan keluasan kawasan tanah gambut yang boleh meningkatkan kesan haba. Kalimantan dan Sumatera di Indonesia turut dijangka mengalami situasi sama.
"Malaysia dan Indonesia, yang menyumbang hampir 90% daripada bekalan minyak sawit dunia, kini berdepan risiko suhu tertinggi apabila pakar cuaca memberi amaran bahawa fenomena El Niño kali ini berpotensi menjadi antara yang paling kuat pernah direkodkan," katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut AmInvest, cuaca panas dan kering berpanjangan dijangka menjejaskan pertumbuhan pokok kelapa sawit serta mengurangkan pengeluaran dalam tempoh lebih setahun, sekali gus memberi kesan kepada bekalan global minyak sawit yang digunakan secara meluas dalam pelbagai produk makanan dan barangan pengguna.
Pokok kelapa sawit pada peringkat umur paling muda dan paling tua dijangka menerima kesan yang lebih ketara berbanding pokok berusia antara enam hingga 20 tahun.
Katanya, pokok muda lebih mudah terjejas kerana mempunyai sistem akar yang cetek, manakala pokok yang lebih tua berisiko mengalami keguguran bunga betina, sekali gus menjejaskan penghasilan buah.
"Bagaimanapun, pokok muda dijangka pulih lebih cepat berbanding pokok yang lebih tua," katanya.
Firma penyelidikan itu turut berpandangan bahawa gabungan keadaan cuaca yang tidak menggalakkan serta pelaksanaan dasar biodiesel B50 di Indonesia akan terus menyokong kenaikan harga MSM.
Sehubungan itu, AmInvest sedang menilai semula unjuran harga purata MSM bagi 2027 yang kini ditetapkan pada RM4,400 satu tan.
"Ketika ini, kontrak niaga hadapan penanda aras MSM didagangkan sekitar RM4,662 satu tan di Bursa Malaysia Derivatives," katanya.
Harga minyak sawit telah meningkat kira-kira 15% sejak awal tahun ini, disokong oleh kenaikan harga petroleum susulan konflik geopolitik di Timur Tengah yang tercetus pada penghujung Februari, selain jangkaan gangguan bekalan akibat fenomena El Niño. - DagangNews.com






