amree07/08/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos — Maybulk Berhad mencatatkan kedudukan kewangan yang terjejas teruk bagi separuh pertama tahun 2026 dengan terpaksa menanggung kerugian besar mencecah RM50.92 juta.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, punca utama kerugian secara mendadak ini adalah disebabkan oleh proses pembubaran anak syarikat, Spectrapoint Sdn Bhd pada 25 Mei 2026.
Penutupan subsidiari berkenaan mengakibatkan kumpulan perlu kerugian terjemahan pertukaran mata wang asing (forex) terkumpul berjumlah RM54.03 juta yang dipindahkan ke penyata untung rugi.
"Bagaimanapun, usaha likuidasi berkenaan hanyalah pelarasan perakaunan semata-mata dan merupakan satu langkah penyusunan semula korporat tanpa melibatkan sebarang aliran keluar tunai," jelas Maybulk.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (2HFY26), kumpulan mencatatkan kerugian bersih hampir RM51 juta, berbanding keuntungan bersih RM11.25 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Sementara bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), Maybulk masih lagi berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM2.07 juta, namun jumlah itu merosot 74% berbanding RM8.14 juta pada 2QFY25.

Pendapatan Maybulk menunjukkan aliran menurun apabila susut 15% kepada RM38.6 juta bagi tempoh enam bulan, manakala hasil suku kedua jatuh kepada RM20.41 juta berbanding RM24 juta sebelum ini.
"Segmen perkapalan pukal terus berdepan tekanan dengan penurunan kadar sewaan purata dan kesan pelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat yang secara langsung menjejaskan margin," tambahnya.
Sementara segmen rumusan rak dan stor turut terkesan oleh persaingan sengit dan tekanan harga jualan, selain impak negatif pengukuhan nilai ringgit yang menjejaskan keuntungan jualan eksport.
Maybulk melahirkan kebimbangan mengenai ketegangan berterusan di Timur Tengah yang meningkatkan kos bahan api dan operasi bagi kapalnya, Alam Kuasa, yang beroperasi di bawah kontrak kadar tetap.
Pengurusan namun aktif meninjau peluang baharu dalam sektor hartanah industri dan pergudangan bagi mempelbagaikan pendapatan, sambil menjangka segmen stor akan kekal menguntungkan pada tahun 2026.
"Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan dividen bagi suku dikaji, tetapi syarikat masih mengekalkan kedudukan tunai dan pelaburan jangka pendek kukuh berjumlah RM328.28 juta," katanya. - DagangNews.com






