Lagak 'wheelie', dua penunggang Ducati ditahan

16 May 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lagak 'wheelie', dua penunggang Ducati ditahan
Tangkap layar tular rakaman memaparkan aksi wheelie oleh penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya SPE.

KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang melakukan aksi ‘wheelie’ ketika berkonvoi melalui Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) di sini ditahan polis pada Sabtu.

Tangkapan dilakukan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan selepas video aksi itu tular di aplikasi Threads.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mereka telah direman sehari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Antara tindakan yang telah diambil termasuk permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, rakaman percakapan suspek serta dokumentasi motosikal terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Video itu dikesan JSPT Kuala Lumpur selepas tular pada Jumaat.

Mohd Zamzuri berkata, semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 9 Mei kira-kira jam 11 pagi di Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar menghala ke Putrajaya.

“Aksi berbahaya tersebut dipercayai dilakukan dua penunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard 950 berwarna merah dan Ducati Panigale berwarna hitam,” ujarnya.

Tegasnya, JSPT Kuala Lumpur memandang serius tindakan pengguna jalan raya yang melakukan aksi berbahaya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam.