Rosakkan kereta di Plaza Tol Kajang, penunggang motosikal ditahan

27 Apr 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rosakkan kereta di Plaza Tol Kajang, penunggang motosikal ditahan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta di Plaza Tol Kajang pada Ahad.

KAJANG – Tindakan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah kenderaan di Plaza Tol Kajang, Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) menghala ke selatan di sini pada Ahad, mengundang padah apabila dia diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan satu video tular berdurasi kira-kira satu minit 26 saat di media sosial yang memaparkan kejadian tersebut.

"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 petang, kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

"Kereta Proton Saga yang dipandu mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri kerana disyaki ditendang oleh suspek” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan anggota dan pengawal dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja di sektor swasta di sekitar Kajang pada petang Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa bertimbang rasa, mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas selain memandu secara berhemah demi keselamatan bersama," ujarnya.