Lagi Kes Kejam Terhadap Haiwan, Anjing Dipercayai M*ti Akibat Dipanah

27 Dec 2024 • 4:14 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Belum reda isu tular membabitkan kematian kucing dan anjing, kini timbul pula insiden seekor anjing yang mati dipercayai dipanah oleh seorang pekerja hanya kerana tersalah memasuki lorong.

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu dikecam sekeras-kerasnya oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM).

Presidennya, R Kalaivanan berkata, anjing yang diberi nama Kutty itu mengalami kecederaan parah sebelum mati akibat tindakan kejam berkenaan yang dilakukan di sebuah ladang di Selama, Perak pada 22 Disember lalu.

Menurut SAFM, kejadian itu bukan sahaja mencabar nilai asas kemanusiaan tetapi juga melanggar undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“SAFM menyeru mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan dan membantu siasatan,” tegas SAFM dalam satu kenyataan.

image is not available

Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan anjing itu tertusuk sebatang anak panah menembusi bahagian perutnya.

Jelas Kalaivanan, laporan boleh dibuat di balai polis terdekat, selain aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pelaku.

Persatuan itu turut menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DVS menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan.

“Kami menyeru seluruh masyarakat untuk bersatu dalam menegakkan hak haiwan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

“Keadilan untuk Kutty adalah keadilan untuk semua haiwan yang memerlukan perlindungan,” katanya.

Terdahulu dalam insiden berasingan, kejadian kematian beberapa ekor kucing di sebuah IPTA dalam keadaan tragik mengundang kemarahan orang ramai.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.