
BERA – Provokosi secara kekerasan terus dilakukan dalam penguatkuasaan pencerobohon hutan Simpan Kekal Tasik Bera apabila seorang lelaki ditumbuk manakala sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dirosakkan di Kampung Kuala Serting di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Modenas telah bertindak memecahkan cermin pintu dan cermin sisi kanan kenderaan jenis Toyota Fortuner yang diletakkan di tepi jalan.
“Suspek juga disyaki telah menumbuk di bahagian bahu seorang lelaki yang berada di tempat kejadian serta memaki hamun dengan kata–kata kesat.
“Suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian dan turut meninggalkan sebuah motosikal yang dinaikinya,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan melakukan khianat terhadap harta benda.
Katanya, pihak polis sedang giat mengesan suspek terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil ke mana–mana balai polis yang berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan melangkaui batasan undang–undang serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman awam,”ujarnya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan provokosi dilakukan berterusan terhadap pihak berkuas dengan kata-kata kesat akhirnya bertukar kepada tindakan kekerasan fizikal selepas seorang individu ditumbuk di Kampung Lubuk Tambangan di sini.-KOSMO! ONLINE.
The post Lagi lelaki ditumbuk, kenderaan dirosakkan di Tasik Bera appeared first on Kosmo Online.





