Tiga pelajar berdepan detik cemas selepas didakwa dikejar seorang rakan yang bersenjatakan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek yang berusia 13 tahun dipercayai bertindak sedemikian akibat tidak berpuas hati selepas dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun didakwa berulang kali membaling ais ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Program Penghargaan Kehadiran Murid sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau pemotong kertas yang disimpan di dalam bekas pensil sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah.
“Dua lagi pelajar lelaki yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, keseluruhan kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sekolah.
Bagaimanapun, tindakan pantas seorang guru yang berjaya memujuk suspek supaya melepaskan pisau tersebut berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun guru.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa semula ke dewan sekolah selepas keadaan berjaya dikawal dan pihak sekolah juga telah menghubungi pihak keluarga suspek untuk ke sekolah sebelum membawa pelajar itu pulang.”
“Hasil siasatan lanjut mendapati semua pelajar yang terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini,” tambahnya.
Ahmad turut memaklumkan, suspek dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.
Pihak sekolah juga difahamkan sedia maklum mengenai keadaan pelajar terbabit.
Menurutnya, laporan polis dibuat oleh seorang guru di Balai Polis Durian Tunggal pada malam Khamis. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Aku Pecahkan Muka Kau!" - 'Ayahanda' Puchong Ugut Pempengaruh Buat 'Live' Di Kawasan PATI Ditahan Polis
The post Lagi Pelajar Dikejar Rakan Dengan Pisau Pemotong Di Sekolah Di Alor Gajah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






