Pelajar Berang Dibuli, Sering Dibaling Ais Jadi Punca Kejar Rakan Dengan P*sau

LocalFamily & Parenting
10 Jul 2026 • 11:57 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 2026 07 10T114847.028

Perasaan marah akibat dibuli dengan sering dibaling ais dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Satu bertindak mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang ketika sesi kokurikulum bagi program penghargaan kehadiran pelajar sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

Menurutnya, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai telah berulang kali membaling ais ke arah suspek yang juga berusia 13 tahun.

“Akibat tidak dapat menahan kemarahan, suspek mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensilnya sebelum mengejar seorang daripada mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.

Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran. Kejadian itu turut dirakam oleh sistem kamera litar tertutup (CCTV) sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kecekapan Guru Kawal Situasi

Bagaimanapun, tindakan pantas seorang guru yang menyedari kejadian itu berjaya meredakan keadaan. Guru berkenaan bertindak memujuk suspek sehingga dia ditenangkan dan melepaskan pisau pemotong kertas tersebut.

Hasil kecekapan pihak sekolah, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pelajar mahupun guru. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya kembali ke dewan sekolah selepas keadaan disahkan selamat, manakala keluarga suspek dipanggil sebelum membawa pelajar itu pulang.

Rekod Disiplin & Kesihatan Mental

Mengulas lanjut, Ahmad mendedahkan bahawa kesemua pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut sebenarnya mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini.

Selain itu, siasatan polis mendapati suspek merupakan pesakit yang masih menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka. Sesi rawatan terakhirnya direkodkan pada 3 Jun lalu, dan status kesihatan mental pelajar berkenaan sememangnya berada dalam pengetahuan pihak sekolah.

Rentetan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat oleh guru sekolah terbabit di Balai Polis Durian Tunggal pada malam kejadian. Kes kini sedang disiasat secara rasmi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved