10 karya mara ke pentas akhir pertandingan cipta lagu OST

LocalMusic
7 Oct 2026 • 5:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

10 karya mara ke pentas akhir pertandingan cipta lagu OST

SEBANYAK 10 karya ciptaan komposer tempatan berjaya mara ke pentas akhir Pertandingan Mencipta Lagu OST (Runut Bunyi) 2026 anjuran Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah) yang dijadual berlangsung Disember depan.

Pengarah Program Guadik Ansiw berkata 10 karya terbabit dipilih daripada 24 lagu yang layak ke peringkat separuh akhir selepas pertandingan itu dibuka selama empat minggu bermula 1 September lalu.

Katanya, sepanjang tempoh pertandingan dibuka, Kreatif Sabah menerima sebanyak 34 penyertaan daripada komposer tempatan.

“Daripada jumlah itu, sembilan penyertaan didapati tidak memenuhi syarat kelayakan manakala seorang peserta menarik diri kerana tidak dapat menyediakan penyanyi untuk mempersembahkan karya berkenaan pada peringkat separuh akhir.

“Sebagai penghargaan kepada peserta yang berjaya mara ke separuh akhir, pihak penganjur turut menyediakan saguhati tunai RM200 berserta sijil penyertaan,” katanya dalam kenyataan.

Menariknya, Guadik berkata pertandingan itu turut membuka ruang kepada peserta untuk memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses menghasilkan lagu.

“Pendekatan ini membolehkan peserta menggunakan teknologi AI bagi membantu mengurangkan masa dan kos dalam penyediaan karya selaras dengan perkembangan teknologi dalam industri muzik dan kreatif semasa.

“Bagaimanapun, setiap karya yang menggunakan bantuan AI tetap perlu dipersembahkan oleh penyanyi sebenar pada peringkat separuh akhir bagi memastikan elemen vokal dan persembahan manusia kekal menjadi sebahagian penting dalam pertandingan,” katanya.

Sepuluh karya yang berjaya dipilih ke peringkat akhir ialah Kinasuaban Awagu, Takkan Pernah Ku Lepaskan, Hentikan Lah, Tenang, Senja Di Hujung Waktu, Saat Ku Kembali, Binuluntung Tulan, Setia Menantimu, Anekdot Cinta dan Hujung Cintaku.

Katanya, peringkat akhir menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM16,000 untuk dimenangi oleh 10 karya finalis.

Selain hadiah utama, pertandingan itu turut memperkenalkan beberapa kategori khas iaitu Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik, Lagu OST Paling Popular dan Video Muzik Terbaik.

Pengerusi Kreatif Sabah Chester Pang berkata pertandingan itu merupakan antara pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh gabungan berkenaan untuk memberi tumpuan lebih luas kepada aspek pembangunan keusahawanan dan rantaian ekonomi dalam kalangan penggiat seni kreatif Sabah.

“Kami bukan hanya mahu memberi tumpuan kepada penyanyi tetapi melihat keseluruhan rantaian bermula daripada asasnya iaitu penciptaan lagu, komposer dan penulis lirik sehinggalah kepada penghasilan, persembahan dan pasaran.”Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) berkata pihaknya merancang untuk menjemput penerbit dan pengarah filem ke pertandingan akhir bagi mendengar sendiri karya-karya yang dihasilkan oleh finalis.

“Kami mahu mewujudkan satu ruang di mana lagu-lagu yang dihasilkan bukan sekadar berakhir sebagai karya pertandingan tetapi berpotensi menjadi lagu tema atau OST untuk filem dan drama televisyen yang sedang dirancang atau akan diterbitkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu secara tidak langsung dapat mempertemukan komposer dan pencipta lagu dengan pemain industri filem serta membuka peluang baharu dari segi kerjasama, pelesenan, penerbitan dan penggunaan karya dalam produksi.

Chester turut berterima kasih kepada Pengerusi Sabah Economic Development and Investment Authority (Sedco) Datuk Masiung Banah atas sumbangan kewangan bagi membantu Kreatif Sabah menjayakan penganjuran pertandingan di peringkat separuh akhir.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi dan presiden persatuan-persatuan yang bergabung di bawah Kreatif Sabah yang turut memberikan sumbangan kewangan dan sokongan bagi memastikan pertandingan itu dapat dilaksanakan.

“Kami berharap sokongan seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang supaya lebih banyak bakat serta karya kreatif tempatan dapat dibangunkan menjadi produk ekonomi yang mempunyai nilai komersial dan mampu membawa nama Sabah ke peringkat nasional serta antarabangsa.

“Kreatif Sabah akan terus mencari ruang untuk membangunkan program yang bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat seni untuk berkarya tetapi turut membuka laluan kepada pasaran, jaringan industri, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan selaras dengan aspirasi untuk membangunkan ekosistem ekonomi kreatif Sabah yang lebih tersusun dan berdaya saing,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved