Laluan pejalan kaki berbumbung KL diperluas, kaedah pelaksanaan diteliti- Hannah Yeoh

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 5:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Laluan pejalan kaki berbumbung KL diperluas, kaedah pelaksanaan diteliti- Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Kaedah pelaksanaan paling pantas bagi menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer di ibu negara sedang diteliti bagi meningkatkan keselesaan warga kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, cadangan itu menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang mahukan kemudahan berjalan kaki tanpa terdedah kepada panas dan hujan.

Katanya, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud sedang meneliti kaedah pelaksanaan yang membolehkan lebih banyak laluan disediakan dalam tempoh lebih singkat.

“Usaha itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan di Kuala Lumpur supaya orang ramai lebih cenderung berjalan kaki sekiranya kemudahan berkenaan tersedia secara menyeluruh,” katanya dalam program Town Hall Belia KL: Berbicara Bersama YB Hannah Yeoh di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer bagi menghubungkan mercu tanda utama, termasuk Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.

Sehubungan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kewangan sedang meneliti pecahan peruntukan Belanjawan 2027 bagi mengenal pasti projek yang diluluskan, termasuk projek yang menggunakan tanah sedia ada di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pengumuman lanjut mengenai projek berkenaan hanya akan dibuat selepas penelitian terhadap pecahan peruntukan dan cadangan yang diluluskan selesai.

Mengulas usaha menambah kawasan hijau di ibu negara, beliau berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada pewartaan kawasan hijau sedia ada yang belum diwartakan bagi memastikan kawasan itu mendapat perlindungan sewajarnya.

“Satu pasukan petugas diwujudkan bagi mempercepat proses pewartaan, manakala pasukan penguat kuasa di Pejabat Tanah akan memastikan kawasan yang telah diwartakan dilindungi daripada pencerobohan dan aktiviti komersial yang tidak dibenarkan,” katanya.

Selain pembinaan padang baharu, kawasan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga boleh dimanfaatkan sebagai ruang rekreasi melalui penyelenggaraan oleh DBKL, termasuk penyediaan lampu dan laluan pejalan kaki untuk kegunaan penduduk setempat. – UTUSAN 

 

The post Laluan pejalan kaki berbumbung KL diperluas, kaedah pelaksanaan diteliti- Hannah Yeoh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved