Lambakan projek baharu, Johor berisiko hadapi masalah gelembung hartanah - JLL Malaysia

24 Jul 2025 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lambakan projek baharu, Johor berisiko hadapi masalah gelembung hartanah - JLL Malaysia

image is not available

24/07/2025 - 11:03

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Johor berkemungkinan berdepan masalah gelembung hartanah ekoran berlakunya peningkatan bekalan kediaman dengan projek baharu berharga antara RM1,000 ke RM1,500 bagi setiap kaki persegi semakin banyak memasuki pasaran.

Pengarah Urusan JLL Malaysia, Jamie Tan mengakui, pihaknya bimbang akan berlaku situasi pembinaan berlebihan dan lebihan bekalan mengatasi permintaan yang boleh menyebabkan berlakunya gelembung hartanah.

“Saya fikir pihak berkuasa pengawalseliaan dan perancangan memainkan peranan yang sangat penting dalam menguatkuasakan sekatan tertentu bagi memastikan tidak berlaku lambakan atau lebihan bekalan hartanah.

"Peranan itu bukan sahaja terletak pada bahu penggubal dasar, tetapi juga pemaju itu sendiri untuk sentiasa memadankan bekalan dengan permintaan sebenar dan bukannya sekadar mengikut trend semata-mata bagi mencapai jumlah atau margin keuntungan tertentu," katanya dalam satu pembentangan meja bulat media JLL Malaysia.

Sementara itu, harga purata hartanah mewah di Johor melonjak sebanyak 20% dalam separuh pertama tahun 2025 di kawasan sekitar Bukit Chagar dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan datang, didorong minat tempatan dan asing.

Susulan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), satu inisiatif untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

“Terdapat sentimen positif dan keyakinan pelabur disebabkan oleh pertumbuhan infrastruktur dan pembangunan JS-SEZ," kata Jamie.

Selain itu, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 9 Julai lalu meningkatkan minat pembeli dalam pasaran kediaman, namun Jamie menganggarkan kesan penuh daripada penurunan OPR dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya akan dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini.

Beliau turut mengulas khabar angin mengenai kemungkinan penurunan lanjut OPR pada bulan September, yang akan menurunkan kadar itu kepada 2.5%.

“Kami perhatikan selepas penurunan OPR pada 9 Julai, terdapat banyak pertanyaan dan banyak janji temu untuk lawatan hartanah. Jadi ia memang memberi kesan besar kepada pasaran.

"Jika benar berlaku penurunan lanjut pada bulan September — ada khabar angin, saya belum pasti, tetapi ada khabar angin yang mengatakan akan ada penurunan lagi — dan jika kadar OPR turun kepada 2.5%, saya rasa itu akan memberi impak yang ketara kepada pasaran kediaman,” katanya.

Beliau turut menekankan, peluasan SST dan tarif Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan kepada aktiviti pasaran di seluruh Malaysia, dengan menyatakan, percukaian terhadap bahan binaan boleh mendorong kenaikan harga hartanah, walaupun pasaran kediaman dikecualikan.

“Selain daripada OPR, terdapat banyak faktor lain juga, seperti peluasan SST. Sudah tentu SST tidak begitu memberi kesan kepada pasaran kediaman kerana pasaran kediaman dikecualikan apabila melibatkan perkhidmatan pembinaan.

"Kami masih dikenakan cukai untuk bahan binaan seperti jubin, besi tetulang, tembaga, dan cukai jualan antara 5% hingga 10% bergantung kepada kategori. Jadi perkara-perkara ini yang akan mendorong kenaikan harga hartanah,” katanya. - DagangNews.com

standard