Land 33 jelaskan pembelian hartanah RM32 juta di George Town tiada melibatkan penilaian bebas

Business & FinanceProperty
16 Oct 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Land 33 jelaskan pembelian hartanah RM32 juta di George Town tiada melibatkan penilaian bebas Image from: Land 33 jelaskan pembelian hartanah RM32 juta di George Town tiada melibatkan penilaian bebas amree16/10/2026 - 14:40 Gambar kredit Penang Property Talk Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — Land 33 Berhad; dahulunya dikenali sebagai Acme Holdings Berhad, memaklumkan tiada penilaian bebas dilakukan terhadap hartanah di George Town, Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM32.3 juta menerusi anak syarikatnya, Pacific Horizon Sdn Bhd (PH).

 

Dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan harga pembelian dipersetujui berdasarkan rundingan bersama antara pembeli dan penjual, yang mengambil kira penilaian pihak pengurusan serta semakan secara bebas dengan penilai hartanah profesional.

 

Ujarnya, penilaian pengurusan kumpulan itu juga mengambil kira faktor lokasi, ciri-ciri hartanah dan keadaan pasaran semasa. Lembaga Pengarah namun berpandangan pemerolehan berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang sahamnya.

 

"Berkaitan dengan isu potensi pembangunan hartanah itu pada masa depan, pihak pengurusan masih lagi belum memuktamadkan sebarang cadangan pembangunan, justeru tiada garis masa pelaksanaan yang sudah ditetapkan setakat ini," kata Land 33.

 

Syarikat turut memaklumkan, surat Jabatan Pemuliharaan Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertarikh 21 April 2025 menyatakan hartanah itu tidak terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, namun berpotensi diiktiraf sebagai bangunan warisan.

 

Sekiranya hartanah itu ditetapkan sebagai bangunan warisan berkaitan cadangan pembangunan, kumpulan berhasrat memelihara dan mengekalkannya selaras dengan kepentingan warisan, tertakluk kepada syarat serta garis panduan pihak berkuasa berkaitan.

 

Artikel berkaitan: Land 33 beli tanah RM32 juta di George Town buka peluang pembangunan baharu

 

Land 33_DagangNews
SUASANA Jalan Cantonment di George Town, Pulau Pinang. - Foto Bloomberg


Mengenai isu penyewaan hartanah berkenaan, PH tidak bercadang meneruskan perjanjian sewaan sedia ada yang dijadualkan tamat pada 14 Mei 2029. Sehubungan itu jelas Land 33, perjanjian berkenaan mempunyai peruntukan penamatan awal melalui notis.

 

"Menurut perjanjian jual beli bertarikh 13 Oktober 2026, penjual bersetuju mengeluarkan notis penamatan kepada penyewa dalam tempoh 14 hari selepas tarikh perintah mahkamah yang membenarkan penjualan dan pemindahan hartanah kepada pembeli," katanya.

 

Berdasarkan situasi itu, tiada pampasan perlu dibayar bagi penamatan tersebut. Kumpulan berkenaan turut mengesahkan deposit yang berjumlah RM3.23 juta bagi pemerolehan hartanah tersebut telah pun dibayar pada 13 Oktober 2026.

 

Dari segi pembiayaan pula, Land 33 memberikan gambaran kesan kewangan pro forma yang berdasarkan andaian sebanyak 80% daripada harga pembelian, bersamaan kira-kira RM25.84 juta, apabila pembelian dibiayai melalui sumber pinjaman bank.

 

Di bawah senario itu, jumlah pinjaman selepas pemerolehan diunjurkan sebanyak RM25.84 juta, dengan nisbah penggearan bersih sebanyak 0.15 kali berbanding tiada pinjaman dalam kedudukan kewangan diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Makluman tambahan tersebut dikemukakan kepada Bursa Malaysia susulan pengumuman kumpulan berkenaan pada 13 Oktober 2026 mengenai pemerolehan hartanah di Jalan Cantonment itu pada jumlah balasan RM32.3 juta menerusi PH. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved