amree05/10/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt — PTT Synergy Group Berhad bakal memperluas portfolio hartanah dengan pemerolehan empat unit kilang bernilai hampir RM32 juta di Klang, Selangor, yang disasarkan menjana pendapatan sewa berulang daripada penyewa industri.
Menerusi makluman tambahan kepada Bursa Malaysia, ia berkata anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, PTT Assets Sdn Bhd, akan memperoleh empat bidang tanah bersama unit kilang yang sedang atau akan dibina dengan jumlah pertimbangan tunai RM31.997 juta.
Menurut kumpulan tersebut, pemerolehan itu bertujuan mengembangkan portfolio pelaburan hartanah kumpulan dan mewujudkan aliran pendapatan sewa berulang menerusi penyewaan keempat-empat unit kilang kepada penyewa industri.
"PTT merancang memulakan proses mencari penyewa serta rundingan pajakan sepanjang tempoh pembinaan, dengan operasi sewaan disasarkan bermula selepas projek siap dan milikan kosong diserahkan, tertakluk kepada kerja pengubahsuaian yang diperlukan," katanya.
Keempat-empat hartanah dijangka disiapkan dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli (SPA) masing-masing, dengan kerja pembinaan telah bermula pada 7 Januari 2026 dan kini mencapai sehingga peringkat rangka struktur bangunan, atau kira-kira 55% siap.
Dari segi pembiayaan, risiko pembelian itu disokong kelulusan pinjaman daripada CIMB Bank Berhad dengan margin pembiayaan 90%, selain rebat Bumiputera 10% yang diberikan penjual.

Berdasarkan terma pembayaran, 10% daripada harga pembelian perlu dibayar sebaik sahaja setiap SPA ditandatangani, manakala baki bayaran dibuat secara berperingkat mengikut kemajuan pembinaan sehingga notis milikan kosong dikeluarkan.
"Pembelian itu turut mengambil kira transaksi hartanah perindustrian berdekatan, termasuk sebuah kilang berkembar di Bukit Raja Prime Industrial Park seluas 1,854.99 meter persegi yang didagangkan pada RM8.5 juta pada Jun 2026," jelas PTT.
Satu lagi perbandingan ialah kilang berkembar di Bukit Raja 3 Industrial Park berkeluasan 2,024.99 meter persegi yang direkodkan pada harga RM7.689 juta pada Mac 2026.
Sekiranya penjual gagal menyerahkan milikan kosong dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh SPA, penjual perlu membayar ganti rugi dipersetujui pada kadar 5% setahun berdasarkan jumlah bayaran yang telah dibuat PTT sehingga tarikh penyerahan sebenar.
Dari segi kedudukan kewangan, nisbah penggearan proforma PTT dijangka meningkat kepada 2.01 kali selepas pemerolehan berbanding 1.91 kali setakat 30 Jun 2025, berdasarkan kedudukan kewangan proforma yang dinyatakan syarikat. - DagangNews.com






