Land 33 beli tanah RM32 juta di George Town buka peluang pembangunan baharu

14 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Land 33 beli tanah RM32 juta di George Town buka peluang pembangunan baharu Image from: Land 33 beli tanah RM32 juta di George Town buka peluang pembangunan baharu amree14/10/2026 - 09:15 SUASANA Jalan Cantonment di George Town, Pulau Pinang. - Foto Bloomberg Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Land 33 Berhad membeli sebidang tanah seluas 0.4 hektar pada harga RM32.3 juta di kawasan kediaman matang George Town, Pulau Pinang sebagai langkah terbaharu dalam memperkukuh bank tanahnya bagi pembangunan hartanah pada masa depan.

 

Syarikat pemaju itu, yang dahulunya dikenali sebagai ACME Holdings Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Pacific Horizon Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi memperoleh aset terbaharu berkenaan pada 13 Oktober 2026.

 

Ujarnya, hartanah yang terletak di Jalan Cantonment itu merangkumi sebidang tanah bersama-sama sebuah banglo dua tingkat. Pada ketika ini, bangunan berkenaan masih lagi disewakan kepada pengendali prasekolah dikenali sebagai Tadika Sains Kreatif.

 

"Urus niaga berkenaan dimeterai dengan Julian Lim Chung Yi serta pentadbir harta pusaka Lim Chung Ching, iaitu Pamela Ong Siew Im dan Christy Toh Siew Teng, dengan nilai pembelian sebanyak RM32.3 juta secara tunai," jelas Land 33 menerusi kenyataan tersebut.

 

Menurut kumpulan berkenaan, pemerolehan aset itu bertujuan menambah bank tanah syarikat berkenaan dan seterusnya membuka peluang kepada usaha pembangunan hartanah baharu di Pulau Pinang, sekali gus dapat memaksimumkan lagi nilai komersial tanah tersebut.

 

Kumpulan itu turut menyifatkan lokasi strategik hartanah berkenaan dalam kawasan kediaman matang yang mendapat permintaan tinggi pasaran sebagai antara faktor yang berpotensi luas dalam menyokong daya tarikan pembangunan pada masa depan.

 

Kedudukan Hartanah Ada Akses Kemudahan

Kata Land 33, kedudukannya yang mempunyai akses kepada kemudahan sedia ada seperti sekolah, kolej, hospital dan pusat beli-belah juga dijangka membantu memenuhi permintaan pasaran berpotensi di negeri berkenaan.

 

"Kumpulan menjangkakan pemerolehan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan. Pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank," jelasnya.

 

Dari sudut strategi, langkah tersebut membolehkan kumpulan memperluas portfolio pembangunan hartanahnya di Pulau Pinang, di samping meneroka potensi penggunaan tanah di kawasan bandar yang telah mempunyai kemudahan dan infrastruktur matang.

 

Bagaimanapun, syarikat belum memperincikan jenis pembangunan yang bakal dilaksanakan di atas tanah berkenaan atau nilai pembangunan kasar (GDV) yang disasarkan.

 

Di Bursa Malaysia, saham Land 33 ditutup tidak berubah kepada 11 sen pada dagangan 13 Oktober 2026, sekali gus memberikan permodalan pasaran kira-kira RM40.43 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved