Langgar lampu merah, penunggang motosikal cedera rempuh kereta

20 Jan 2025 • 4:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular menyaksikan penunggang motosikal memandu secara melulu dan melanggar lampu merah menyebabkannya bertembung dengan sebuah kereta di simpang empat Jalan Meru Tambahan, Klang, Selangor pada Ahad.

KLANG - Seorang penunggang motosikal cedera selepas menunggang secara melulu dan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta di simpang empat, Jalan Meru Tambahan, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian jam 2.15 petang itu, warga tempatan itu menunggang motosikal jenis Modenas Kriss telah melanggar lampu isyarat merah sebelu merempuh sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Kapar.

"Pihak polis telah mengesan satu video berdurasi 22 saat dimuat naik melalui laman Facebook yang memaparkan sebuah motosikal melanggar lampu isyarat merah.

"Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak ke atas cermin kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya. Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Siti Nursiah Mohd Nor di talian 018-2865951," ujarnya.