El Nino: Asia Tenggara berdepan cuaca panas, kering dan risiko jerebu meningkat - ASMC

WorldEnvironment
4 Aug 2026 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: El Nino: Asia Tenggara berdepan cuaca panas, kering dan risiko jerebu meningkat - ASMC
Suhu melebihi paras normal dijangka melanda sebahagian besar rantau ASEAN dari Ogos hingga Oktober.

SINGAPURA - Rantau Asia Tenggara dijangka berdepan keadaan lebih panas dan kering dalam beberapa bulan akan datang, berserta peningkatan risiko kebakaran dan jerebu rentas sempadan susulan fenomena El Nino yang semakin mengukuh, sekali gus mengurangkan taburan hujan.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam tinjauan musiman terbaharunya pada Selasa memaklumkan, fenomena El Nino cenderung menyebabkan kebarangkalian taburan hujan di bawah paras normal di sebahagian besar kawasan selatan rantau ASEAN sepanjang Ogos hingga Oktober.

Menurut ASMC, fenomena El Nino kini dikesan dan diramal terus mengukuh bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

ASMC berkata, Angin Monsun Barat Daya dijangka berterusan sepanjang tempoh Ogos hingga Oktober, dengan tiupan angin lazimnya bertiup dari arah tenggara dan barat daya.

Menerusi jalur hujan monsun yang kekal di utara garisan Khatulistiwa, keadaan kering dijangka berterusan di kawasan selatan ASEAN, manakala kawasan utara ASEAN pula berkemungkinan mengalami cuaca lebih lembap.

Suhu melebihi paras normal dijangka melanda sebahagian besar rantau ASEAN dari Ogos hingga Oktober, sekali gus berpotensi memburukkan lagi keadaan cuaca kering.

ASMC turut memberi amaran bahawa keadaan cuaca panas berpanjangan bersama tiupan angin dari tenggara dan barat daya boleh meningkatkan aktiviti titik panas dan risiko berlaku jerebu merentas sempadan.

Bagi subwilayah Mekong, aktiviti titik panas dijangka kekal terkawal, namun risiko peningkatan aktiviti itu masih boleh berlaku di kawasan yang menerima taburan hujan yang rendah. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved