Langkah Binastra ceburi projek pusat data akan perluas kepakarannya ke bidang baharu – RHB Research

17/07/2025 - 16:33
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Julai - Langkah Binastra Corp Bhd memperluas skop perniagaannya melebihi bidang hartanah kediaman yang menjadi teras operasi syarikat itu dilihat mampu membuka laluan kepada penglibatan dalam lebih banyak projek baharu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, perkara tersebut dizahirkan menerusi penyertaan kumpulan dalam projek pusat data (DC) serta beberapa kontrak baharu berkaitan loji rawatan kumbahan.
“Merujuk kepada kontrak pusat data keempat Binastra di Cyberjaya, projek DC bagi MYT DC3 Sdn Bhd itu dijangka siap secara berperingkat antara Jun hingga Disember 2025.”
“Projek yang bernilai RM250 juta dengan kapasiti kira-kira 10.5 megawatt itu dianugerahkan kepada Binastra pada Februari 2025.
“Berdasarkan pemerhatian kami, kemajuan pembinaan kini berada pada tahap 25% hingga 30% dan ini agak memberangsangkan, memandangkan Binastra berjaya membina tiga tingkat dalam tempoh kira-kira empat bulan daripada enam tingkat yang dirancang,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Untuk struktur bangunan DC di Cyberjaya, Binastra menggunakan sistem ‘bubbledeck’ yang membolehkan penggunaan konkrit dikurangkan serta pemasangan dijalankan dengan lebih cepat dan kurang kerja acuan.
Selain itu, perancangan Binastra untuk memperoleh 40.8% kepentingan dalam LF Lansen Sdn Bhd dengan opsyen untuk meningkatkan pegangan kepada 51% pada harga maksimum RM45 juta bakal memperkukuh kepakarannya dalam teknologi penyimpanan tenaga terma, sistem penyejukan pusat data dan sistem pemanasan, pengudaraan serta penyaman udara (HVAC).
Setakat ini, RHB Research menganggarkan Binastra telah meraih projek pusat data bernilai kira-kira RM1.2 bilion, merangkumi 18% daripada jumlah buku pesanan kumpulan yang kini mencecah RM4.6 bilion.
Walaupun menyedari risiko luaran termasuk kemungkinan sekatan terhadap cip berkaitan kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia, RHB Research yakin permintaan daripada pelanggan Asia akan menyokong projek-projek sedia ada.
Menurut laporan itu, Exsim Development, pemaju bagi projek DC di Bukit Jalil yang dianugerahkan kepada Binastra telah mendapatkan pelanggan utama dari Jepun yang tersenarai dalam Fortune 500, untuk fasa lanjutan projek tersebut.
Exsim juga mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada syarikat besar Asia Timur dan sebuah entiti korporat tempatan. - DagangNews.com
standard
