EV pacu kecekapan operasi IOI, margin keuntungan dijangka berkembang

Business & Finance
17 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: EV pacu kecekapan operasi IOI, margin keuntungan dijangka berkembang

PETALING JAYA: Penggunaan meluas jentera berkuasa elektrik (EV) dijangka menjadi antara pemacu utama peningkatan kecekapan operasi IOI Corporation Bhd. (IOI), khususnya dalam aktiviti penuaian dan pengurusan ladang.

Menurut Phillip Capital Research (Phillip Capital), penggunaan mesin serta reka bentuk semula estet bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti penuaian, malah mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap tenaga kerja dan menurunkan kos operasi seunit dalam jangka sederhana hingga panjang.

Firma penyelidikan berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan ketika IOI memasuki fasa pemulihan pengeluaran berbilang tahun, disokong profil umur estet yang semakin matang susulan aktiviti penanaman semula yang dipercepatkan sepanjang dekad lalu.

“Bersama harga baja yang menggalakkan dan leveraj operasi yang lebih kukuh, inisiatif-inisiatif ini dijangka menyokong pengembangan margin secara beransur-ansur, sekali gus meletakkan IOI pada kedudukan baik untuk mencatat pertumbuhan pendapatan mampan sepanjang FY27-28,” katanya dalam nota penyelidikan.

Phillip Capital berkata, pengurusan IOI menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat pada kadar satu digit tinggi bagi tahun kewangan 2027, didorong sumbangan lebih besar daripada kawasan penanaman semula yang mula matang serta penggunaan bahan tanaman berhasil tinggi.

Katanya, peningkatan sumbangan daripada pokok yang semakin matang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pengeluaran FFB, sekali gus meningkatkan penggunaan kapasiti dan leveraj operasi kumpulan.

Pada masa sama, peningkatan kecekapan operasi dijangka membantu IOI mengurus tekanan kos dengan lebih baik, khususnya dalam persekitaran kos tenaga kerja yang mencabar.

Harga sasaran dinaikkan kepada RM5.04

Phillip Capital mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap IOI, dengan harga sasaran (TP) 12 bulan dinaikkan kepada RM5.04 daripada RM4.65 sebelum ini.

TP baharu itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 22 kali, berbanding 21 kali sebelum ini, ke atas anggaran untung sesaham bagi tahun kewangan dua tahun akan datang.

Firma berkenaan menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 sebanyak tiga peratus bagi mengambil kira jumlah pengeluaran sebenar, namun menaikkan anggaran EPS 2027 dan 2028 antara dua hingga lima peratus berikutan jangkaan pengeluaran lebih tinggi serta andaian harga isirung sawit (PK) yang lebih baik.

Menurut Phillip Capital, penilaian lebih tinggi itu mencerminkan prospek harga minyak sawit yang lebih positif bagi 2027 dan 2028, selain prospek pengeluaran IOI yang semakin baik. – UTUSAN

The post EV pacu kecekapan operasi IOI, margin keuntungan dijangka berkembang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved