amree06/08/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Sentral REIT kini berdepan cabaran besar berikutan lonjakan kos perbelanjaan operasi (opex) hartanah mula memberi tekanan ketara kepada prestasi hasil bersih bagi tempoh 1H26.
Data kewangan menunjukkan opex hartanah bagi tempoh itu meningkat kira-kira 16.6% atau RM3.6 juta, mencecah sebanyak RM25.3 juta berbanding hanya RM21.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Situasi itu menyusutkan pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi 1H26 kira-kira 2.3% kepada RM71.8 juta, walaupun kumpulan merekodkan peningkatan dalam jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan.
"Kenaikan beban ini sebahagian besarnya kerana bil utiliti lebih tinggi serta kos operasi susulan kemasukan aset Arcoris Mont' Kiara ke dalam portfolio syarikat," maklum Sentral REIT kepada Bursa Malaysia.
Di sebalik tekanan kos, ia tetap mencatatkan pertumbuhan pendapatan kasar direalisasikan sebanyak 3.3% kepada RM97.4 juta bagi 1H26, dijana aset baharu dan prestasi hartanah sedia ada lebih baik.
Bagi memulangkan nilai kepada pelabur, syarikat tersebut mencadangkan agihan pendapatan interim 3.17 sen seunit, membabitkan jumlah keseluruhan RM37.9 juta bagi tempoh berakhir 30 Jun 2026.

Kekuatan portfolio Sentral REIT turut diperkukuh dengan peningkatan kadar penghunian keseluruhan kepada 89%, daripada 85% pada tahun sebelumnya susulan strategi pengurusan dan penyewa baharu.
"Bagaimanapun cabaran mengekalkan momentum tetap wujud memandangkan kira-kira 21% daripada jumlah keluasan bersih (NLA) yang komited dijadualkan tamat tempoh pajakan pada tahun ini," katanya.
Kumpulan itu mengakui persekitaran pasaran pejabat di Lembah Klang masih mencabar dengan situasi pasaran yang dipacu penyewa serta inflasi kos semasa terus memberi tekanan kepada daya saing aset.
Bagi mendepani ketidaktentuan ini, pengurus dana Sentral REIT akan memberikan tumpuan utama kepada pengoptimuman kos, inisiatif peningkatan aset, serta meneroka peluang kepelbagaian kelas aset lain.
Sementara itu, agihan pendapatan interim yang diumumkan syarikat itu dijadualkan akan dibayar kepada pemegang unit amanah pelaburan hartanah ini pada 18 September 2026. - DagangNews.com






