Sivasangari enggan leka pertahan emas Sukan Asia

25 Sep 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sivasangari enggan leka pertahan emas Sukan Asia

PETALING JAYA: Ratu skuasy negara, S. Sivasangari enggan terbuai dengan kemenangan mudah pada pusingan awal sebaliknya bersedia menghadapi laluan lebih mencabar dalam usaha mempertahankan emas skuasy Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Pemain No. 5 dunia itu mara ke suku akhir selepas menewaskan wakil Sri Lanka, Chanithma Sinaly Veera Samiyel 11-3, 11-5, 11-3 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Nagoya Kinju-Futo Arena, semalam.

Sivasangari yang mendapat bye pada pusingan awal kini akan berdepan pemain No. 39 dunia dari Hong Kong, Ho Tze Lok, dalam misi meneruskan langkah ke separuh akhir dan memburu tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Bermula di suku akhir, saya akan berdepan pencabar dalam ranking 50 atau 40 terbaik dunia, jadi, kesemua mereka ini bukanlah lawan yang mudah. Jadi, saya akan ambil langkah demi langkah, tidak mahu fikir banyak sangat kerana esok (hari ini) masih ada lagi perlawanan,” katanya menerusi kiriman audio dari Nagoya, semalam.

Beliau mengakui tekanan untuk mempertahankan emas Hangzhou sentiasa ada, namun menganggap motivasi untuk memberikan aksi terbaik perlu menjadi keutamaan, terutama apabila saingan kini memasuki fasa lebih sengit.

“Saya memang teruja untuk bermain di Sukan Asia, walaupun tekanan sentiasa ada kerana kehadiran saya di sini adalah untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi,” ujarnya.

Dalam saingan perseorangan wanita yang lain, pilihan ketiga/keempat, Aira Azman turut mara ke suku akhir selepas menewaskan wakil Iran, Najmeh Boushehrizadeh 11-2, 11-2, 12-10 dan kini bakal bertemu Chan Sin Yuk dari Hong Kong.

Pertemuan itu memberi peluang buat Aira membalas kekalahan kepada Sin Yuk pada suku akhir Hangzhou, namun pemain berusia 22 tahun itu mengakui pencabarnya bukan mudah untuk ditundukkan.

“Saya sekali lagi akan bertemu Sin Yuk di suku akhir seperti temasya di Hangzhou juga, dia seorang pemain yang bagus, kami pernah berjumpa beberapa kali, ada kalah dan ada juga menang,” kata Aira.  – UTUSAN

The post Sivasangari enggan leka pertahan emas Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved