
SEREMBAN – Sebanyak lapan ekor anjing terbiar diserahkan secara sukarela kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada hari pertama pelaksanaan Program Insentif Penyerahan Anjing Terbiar, semalam.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, jumlah itu membabitkan pembayaran insentif keseluruhan sebanyak RM400.
“Berdasarkan maklum balas diterima, kesediaan orang ramai menyerahkan anjing terbiar bukan semata-mata didorong oleh insentif RM50 yang ditawarkan bagi setiap anjing dewasa yang memenuhi syarat.
“Insentif itu lebih kepada galakan serta membantu menampung sebahagian kos masa, tenaga dan perjalanan penduduk untuk menyerahkan anjing berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Masri berkata, faktor utama lain ialah masyarakat kini mempunyai saluran pengurusan yang jelas kerana anjing yang diterima akan diserahkan kepada NGO yang bekerjasama dengan MBS, iaitu FurryKids Safehaven dan NS Happy Paws. – KOSMO! ONLINE
The post Lapan anjing terbiar diserah kepada MBS, dapat RM50 seekor appeared first on Kosmo Digital.






