Lapan lori, kereta atas tongkang di Kuala Kedah terbakar

12 Sep 2026 • 4:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lapan lori, kereta atas tongkang di Kuala Kedah terbakar

ALOR SETAR – Tujuh lori dan sebuah kereta terbakar dalam kejadian di atas sebuah tongkang di Jeti Kargo Kuala Kedah, dekat sini, malam tadi.

Kebakaran itu melibatkan lori jenis Isuzu, Hino dan Shacman serta sebuah Proton S70 yang mahu dibawa ke Pulau Langkawi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran lori pada pukul 9 malam tadi.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja serta BBP Alor Setar kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan tujuh buah lori dan sebuah kereta yang berada di atas tongkang sebuah syarikat pengangkutan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.32 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, kejadian mengakibatkan dua buah lori Isuzu terbakar 60 peratus, manakala sebuah lagi 50 peratus.

“Selain itu, tiga lori Hino masing-masing terbakar satu, lima dan 40 peratus, manakala lori Shacman terbakar tiga peratus. Kereta S70 pula terbakar 10 peratus,” ujarnya.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan lapan aliran dan 12 pancutan dengan bantuan pasukan bomba sukarela.

“Anggota bomba menjalankan tindakan pemadaman dan kawalan kebakaran secara teknikal ofensif dan defensif,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 22 kenderaan lagi yang berada di atas tongkang berkenaan tidak terjejas.

“Kerja-kerja overhaul turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api atau haba yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lapan lori, kereta atas tongkang di Kuala Kedah terbakar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved