Lapan Mayat Ditemukan Dibungkus Dalam Beg Plastik Bersama Nota

4 Jun 2026 • 9:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Lapan Mayat Ditemukan Dibungkus Dalam Beg Plastik Bersama Nota

Lapan Mayat Ditemukan Dibungkus Dalam Beg Plastik Bersama Nota

Polis Ecuador mengesahkan penemuan lapan mayat yang dibungkus dalam beg plastik di pinggir bandar Babahoyo, sebuah kawasan yang terkenal sebagai laluan utama kegiatan pengedaran dadah di barat daya negara itu.

Ketua Polis kawasan berkenaan, Kolonel Galo Munoz, berkata pihak berkuasa telah mengesahkan bahawa kesemua lapan mayat tersebut ditemukan pada Rabu.

Penemuan itu berlaku hanya beberapa hari selepas lapan individu dilaporkan hilang pada Ahad ketika dalam perjalanan dari Daule ke Milagro, kira-kira 48 kilometer di selatan Babahoyo. Sebahagian daripada mereka dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Nota misteri ditinggalkan

Menteri Dalam Negeri Ecuador, John Reimberg, berkata satu nota yang ditinggalkan di lokasi kejadian menunjukkan mangsa mungkin menjadi sasaran kumpulan jenayah Los Lobos dalam konflik berdarah dengan kumpulan pesaingnya, Los Choneros.

Kedua-dua kumpulan itu merupakan antara sindiket pengedaran dadah dan pemerasan terbesar di Ecuador serta mempunyai hubungan dengan kartel dadah antarabangsa. Pada September tahun lalu, Los Lobos turut diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat.

Menurut pendakwa raya Milagro, Modesto Freire, dua daripada individu yang dilaporkan hilang adalah bawah umur. Berdasarkan maklumat keluarga mereka, mangsa dipercayai merupakan petani dari Daule, sebuah kawasan yang terkenal dengan penanaman padi.

Keganasan berkaitan dadah semakin membimbangkan

Ecuador kini menjadi antara laluan utama penyeludupan kokain ke pasaran antarabangsa. Dianggarkan sekitar 70 peratus kokain yang dihasilkan di negara jiran, Colombia dan Peru, melalui Ecuador sebelum dihantar ke destinasi lain.

Perebutan pengaruh dan kawalan laluan pengedaran dadah telah mencetuskan peningkatan mendadak keganasan di negara itu. Ini terutama di bandar pelabuhan seperti Guayaquil dan Manta yang sering digunakan untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Pada Januari lalu, polis turut menemukan mayat enam remaja yang dilaporkan hilang selepas keluar menunggang motosikal di wilayah Santa Elena, bersebelahan wilayah Guayas.

Kerajaan tingkat operasi membanteras geng

Ecuador yang suatu ketika dahulu dianggap antara negara paling selamat di Amerika Selatan kini berdepan krisis keselamatan yang semakin meruncing akibat kegiatan kumpulan jenayah terancang.

Tahun lalu, negara itu merekodkan lebih 9,200 kematian akibat keganasan, angka tertinggi dalam sejarah Ecuador.

Bagi menangani situasi tersebut, Presiden Ecuador, Daniel Noboa, telah melaksanakan perintah berkurung di beberapa wilayah. Selain itu, anggota tentera dikerahkan membantu membanteras kegiatan geng dan sindiket jenayah yang semakin berleluasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved