Lapan pemancing hilang ditemukan selamat

2 Nov 2024 • 8:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lapan lelaki yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing dari Jeti Semariang Batu dengan sebuah bot pada Selasa lepas ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu. Foto Facebook Maritim Malaysia

KUCHING - Lapan lelaki yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing dari Jeti Semariang Batu dengan sebuah bot pada Selasa lepas ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemukan bot yang dinaiki kesemua lelaki pada 1.45 tengah hari tadi.

"Bot pancing tersebut kemudian ditunda kembali ke Jeti Semariang Batu dan kesemua mangsa tiba dengan selamat pada 5.25 petang.

"Punca kejadian adalah disebabkan masalah enjin bot yang dialami semasa perjalanan pulang,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh sebelum ini memaklumkan pemancing terbabit ialah Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33, Mohamad Haikal Sharkawi, 17, Mohd Azizi Hamzi, 17, Dahlan Ramli, 41, Hasrin Ismail, 53, Johari Bujang, 51, dan Abdullah Ajek, 56.

Menurut ahli keluarga seorang daripada mangsa, kesemua pemancing dijadualkan pulang pada Khamis tetapi gagal tiba yang menyebabkan laporan polis dibuat berhubung kehilangan mereka petang semalam. - Bernama