Lapan tan pakaian terpakai disumbang kepada Orang Asli

17 Aug 2026 • 7:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lapan tan pakaian terpakai disumbang kepada Orang Asli

GUA MUSANG: Sebanyak lapan tan metrik pakaian yang dikumpul dalam tempoh enam hari diagih kepada penduduk Orang Asli di lapan penempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, program berkenaan kali kedua dianjurkan selepas mendapat sambutan menggalakkan pada tahun lalu.

Katanya, pakaian itu adalah hasil sumbangan orang ramai dari seluruh negara yang dikumpulkan di Pusat Khidmat ADUN Galas dan Persatuan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM).

“Kutipan kali ini dibuat selepas kami menerima banyak permintaan orang ramai yang mahu menyumbang pakaian kepada golongan memerlukannya. Semua pakaian yang diterima diasing, dipilih dan dibungkus mengikut saiz sebelum diagihkan kepada 503 ketua isi rumah di Pos Balar dan Pos Hau.

“Setiap pakaian dipilih sebelum dibungkus mengikut saiz daripada kanak-kanak sehingga dewasa. Kita agihkan kepada semua tempat dan menyumbangkannya tanpa had selagi pakaian itu masih ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Ladoi, Pos Hau di sini semalam.

Mohd. Syahbuddin berkata, pakaian tersebut banyak disumbangkan dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur.

Katanya, pengagihan baju itu turut memberi keceriaan kepada penduduk Orang Asli khususnya kanak-kanak.

Sementara itu, seorang suri rumah Orang Asli di Kampung Ladoi, Pos Hau, Anor Aznan, 46, gembira menerima sumbangan pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik.

Katanya, sebelum ini, dia mengambil masa sehingga empat jam untuk keluar ke bandar Gua Musang bagi membeli pakaian untuk anak-anaknya.

“Kami amat menghargai usaha wakil rakyat bersama rombongan yang sanggup turun padang mengagihkan pakaian.

“Kali terakhir program seperti ini diadakan pada 2011. Kami berharap pengagihan pakaian seperti ini dapat diteruskan kerana kebanyakan kami berpendapatan rendah dan jarang berpeluang membeli pakaian baharu,” katanya. – UTUSAN

The post Lapan tan pakaian terpakai disumbang kepada Orang Asli appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved