johardy10/11/2026 - 09:39 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KOTA KINABALU 8 Nov - Pembinaan lapangan terbang baharu di Sabah dianggarkan menelan kos RM10 bilion, berpotensi lebih rendah berbanding memperluas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bersama pembinaan sebuah lapangan terbang sokongan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo menganggarkan pembinaan landasan kedua KKIA berserta lapangan terbang sokongan memerlukan RM10 bilion hingga RM15 bilion dalam tempoh enam tahun.
Menurut beliau, lapangan terbang baharu pula boleh dibangunkan dengan kos kira-kira RM10 bilion dalam tempoh yang hampir sama, lapor The Borneo Post.
Voo menggesa Sabah mempertimbangkan lokasi baharu kerana kedudukan KKIA dan pembangunan di sekelilingnya boleh mengehadkan ruang pembesaran untuk memenuhi keperluan penerbangan serta ekonomi negeri pada masa depan.
Beliau berucap pada forum “Masa Depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu: Kekal, Perluas atau Pindah?” anjuran Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Sabtu.
Pada forum sama, perunding strategi lapangan terbang, syarikat penerbangan dan penerbangan awam, Edward Clayton berkata, jumlah penumpang KKIA meningkat kira-kira 4.1% setahun sepanjang 21 tahun sejak 2005, mencecah sekitar sembilan juta orang tahun lalu.

Pembesaran KKIA memerlukan lebih daripada landasan kedua
Clayton mempersoalkan sama ada kemudahan sedia ada mengehadkan potensi peningkatan penumpang Sabah, sambil menggariskan pilihan membina landasan kedua di atas tanah tebus guna, mengubah susun atur landasan atau membangunkan lapangan terbang sokongan.
Katanya, landasan kedua di atas tanah tebus guna memerlukan penelitian terhadap kos pembinaan, kesan alam sekitar, jarak antara landasan, bentuk muka bumi dan prosedur operasi.
Susun atur landasan alternatif juga memerlukan kajian lanjut berikutan kekangan kawasan pergunungan, manakala daya maju lapangan terbang sokongan bergantung pada permintaan penumpang, pelaburan dan jarak antara kedua-dua kemudahan.
Pertambahan penumpang turut memerlukan terminal lebih besar, lebih banyak petak parkir pesawat, laluan pesawat antara terminal dengan landasan serta sistem pengurusan trafik udara yang lebih baik, menurut Clayton.
Sementara itu, Voo menyifatkan keadaan KKIA seperti keluarga yang semakin besar tetapi masih tinggal di sebuah apartmen studio, dengan persoalan utama ialah kemampuan tapak sedia ada menampung keperluan masa depan.
Beliau turut merujuk bentuk muka bumi sekitar dan Pulau Gaya sebagai faktor penilaian keselamatan serta laluan berlepas, manakala penutupan landasan pada September menunjukkan risiko gangguan operasi apabila bergantung pada satu landasan.
Peluang kargo dan eksport makanan laut
Voo berkata, lapangan terbang baharu boleh menempatkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), pusat pengasingan kargo, gudang serta penyimpanan rantaian sejuk bagi menyokong industri logistik dan eksport makanan laut Sabah.
Beliau turut mencadangkan konsep bandar lapangan terbang atau aerotropolis yang merangkumi hotel, restoran dan pembangunan komersial, sementara tapak KKIA berpotensi dibangunkan semula untuk pelancongan, perniagaan atau kegunaan bandar lain sekiranya operasi dipindahkan.
Bagaimanapun, Voo menegaskan lokasi baharu perlu dinilai dari segi akses, bentuk muka bumi, ruang udara, risiko banjir, alam sekitar dan cuaca, dengan tempoh perjalanan ke lapangan terbang sebaik-baiknya sekitar 45 minit. – DagangNews.com





