
JAKARTA – Seorang lelaki warga India ditahan selepas cuba menyeludup 1.1 kilogram (kg) serbuk emas yang dianggarkan bernilai 2.9 bilion rupiah (RM652,664) dari sebuah lapangan terbang di Indonesia ke Malaysia, lapor laman berita Jakarta Globe.
Suspek dikenali sebagai MN, 31, diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur.
Penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa mendapati MN bertindak mencurigakan.
Mereka mengesyaki MN menyembunyikan serbuk emas tersebut di dalam tiga kondom yang dimasukkan ke dalam duburnya demi mengelakkan diri daripada dikesan.
Suspek dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani pemeriksaan sinar-X (X-ray) yang kemudian mendedahkan barang terlarang di dalam anggota badannya.
“Serbuk emas itu mempunyai berat kira-kira 1,151 gram dengan ketulenan 23.88 karat,” kata Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasarius Virzawan.
Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda berkata, kaedah penyembunyian tersebut merupakan taktik penyeludupan baharu yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda.
Pihak berkuasa akan memperkukuh penyelarasan dan mempertingkatkan langkah saringan bagi mencegah penyeludupan serupa pada masa akan datang. – AGENSI
The post Lelaki warga India sorok 1.1kg serbuk emas dalam dubur appeared first on Kosmo Online.






