johardy31/07/2026 - 09:55 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai - Pasukan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sama ada terdapat sebarang isu perundangan yang membabitkan unsur rasuah daripada laporan suruhanjaya siasatan diraja Tabung Haji yang didedahkan pada Rabu.
SPRM memaklumkan pasukan khas itu diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar.
"Pasukan berkenaan dipertanggungjawabkan meneliti sama ada laporan RCI itu mengandungi sebarang isu perundangan yang membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
"Penelitian itu akan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan," kata SPRM.
Komited teliti setiap dapatan
"SPRM komited memastikan setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI itu diteliti dengan sewajarnya.
"Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terbabit," menurut kenyataan itu.
SPRM turut menegaskan akan terus menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya bagi memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Anwar arah tindakan jika wujud salah laku
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang unsur penyelewengan, penipuan atau salah guna kuasa yang dikenal pasti menerusi laporan RCI akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata, siasatan itu akan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Bank Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing. - DagangNews.com






