​​​​​​​Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman didedahkan, gariskan 25 syor pembaharuan

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

​​​​​​​Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman didedahkan, gariskan 25 syor pembaharuan Image from: ​​​​​​​Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman didedahkan, gariskan 25 syor pembaharuan johardy30/07/2026 - 08:30

KUALA LUMPUR 30 Julai – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang dinyahklasifikasikan mendedahkan pelbagai penemuan penting, termasuk menggariskan 25 syor bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu.

 

Laporan setebal 211 halaman yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dimuat naik dalam format dokumen mudah alih (PDF) dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit yang menjadi asas kepada siasatan suruhanjaya.

 

Dokumen berkenaan turut menghimpunkan dapatan siasatan serta cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

RCI dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dengan keanggotaan enam pesuruhjaya termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

 

Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Prof. Dr Asmadi Mohamed Naim serta akauntan bertauliah, Norsyahrin Hamidon.

 

Setiausaha Suruhanjaya ialah Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang ketika itu berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim.

 

45 saksi dikenal pasti

Menurut laporan itu, enam pesuruhjaya berkenaan dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 20 Januari 2022 bagi tempoh enam bulan sehingga 19 Julai tahun yang sama.

 

RCI memaklumkan siasatan dijalankan menerusi empat pendekatan iaitu penelitian rekod dan dokumen, taklimat daripada agensi berkaitan, Akuan Berkanun Saksi serta prosiding Suruhanjaya.

 

Sebanyak 45 saksi dikenal pasti bagi membantu siasatan dengan keterangan mereka direkodkan melalui Akuan Berkanun Saksi, manakala 16 daripadanya dipanggil memberi keterangan dalam prosiding tertutup di Kompleks Islam Putrajaya.

 

Antara individu yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof, serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

 

Skop siasatan 2014 hingga 2020

RCI menjelaskan skop siasatan meliputi isu pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk kepada penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tanpa melibatkan pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dilaksanakan ketika itu.

 

Suruhanjaya turut diberi mandat meneliti dokumen dan bukti bagi menentukan sama ada berlaku penyembunyian maklumat atau pemberian kenyataan mengelirukan, selain mengesyorkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang.

 

Laporan itu disusun dalam empat bab utama yang merangkumi pengenalan, latar belakang pengurusan dan operasi TH, penemuan serta cadangan Suruhanjaya, diikuti rumusan yang mengandungi 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti institusi berkenaan.

 

Penubuhan RCI dipersetujui Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, manakala objektif serta skop siasatan ditetapkan pada 8 Oktober tahun yang sama. - BERNAMA

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved