Latih tenaga pakar perdagangan petroleum

Business & Finance
17 Oct 2026 • 6:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Latih tenaga pakar perdagangan petroleum

KLANG: Malaysia disaran melatih tenaga pakar dan membangunkan kumpulan dalam perdagangan petroleum bagi membolehkan negara bersaing dengan lebih berkesan di pasaran antarabangsa.

Malah, ia juga perlu disokong dengan kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan yang merupakan faktor penting bagi membeli kargo selain memenuhi obligasi komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd, Datuk Seri M. R. Jeyendran berkata, beliau mencadangkan program latihan selama enam bulan diberikan kepada siswa pascasiswazah yang merangkumi pengurusan kewangan, prosedur kenali pelanggan, usaha wajar serta risiko perdagangan.

“Pedagang juga perlu memahami keperluan modal, mengurus turun naik harga serta menilai berapa lama mereka mampu bertahan dari segi kewangan bagi melaksanakan sesuatu urus niaga kargo.

“Impian saya adalah untuk mendidik mereka mengikut kaedah perdagangan kewangan antarabangsa yang betul. Melahirkan pedagang yang kompeten memerlukan lebih daripada sekadar pengetahuan mengenai pasaran petroleum,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, Malaysia perlu memperkukuh keupayaan perdagangan sendiri bagi merebut lebih banyak peluang komersial berkaitan sumber petroleum negara.

“Pergerakan harga petroleum yang kecil sekalipun boleh memberi kesan kewangan yang besar apabila melibatkan jumlah kargo yang banyak, sekali gus menjadikan pengetahuan mengenai harga, disiplin kewangan dan pengurusan risiko sebagai perkara penting.

“Bagi membangunkan kumpulan bakat baharu, Maritime Network mengambil kira-kira lima hingga 10 pelatih industri setiap bulan, bergantung pada jumlah permohonan, bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai operasi perkapalan dan amalan industri,” jelasnya.

Kata Jeyendran lagi, kerjasama antara universiti, pemain industri termasuk Petronas serta institusi kewangan dapat membantu membangunkan kepakaran serta keupayaan kewangan yang diperlukan bagi memperluas peranan Malaysia dalam perdagangan petroleum serantau.

“Melahirkan pedagang tempatan merupakan langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab yang membolehkan urus niaga petroleum dijalankan dan nilai komersial dijana melalui penyertaan domestik yang lebih kukuh dalam pasaran antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN

The post Latih tenaga pakar perdagangan petroleum appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved