Industri aeroangkasa perlu perkukuh tenaga mahir tempatan

Business & Finance
15 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Industri aeroangkasa perlu perkukuh tenaga mahir tempatan

SHAH ALAM: Industri aeroangkasa Malaysia perlu terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir, keupayaan teknologi dan kesesuaian sistem pendidikan bagi memastikan syarikat tempatan mampu memenuhi keperluan pengeluar pesawat global yang sentiasa berubah.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri berkenaan ketika ini menggunakan kira-kira 34,000 tenaga kerja mahir, dengan sekitar 300 syarikat tempatan dan antarabangsa terbabit dalam sektor itu.

Katanya, usaha memperkukuh industri aeroangkasa memerlukan pelbagai strategi, termasuk memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran mencukupi serta kemampuan teknologi yang diperlukan untuk menyokong keperluan sektor berkenaan.

“Sistem pendidikan juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri supaya tenaga kerja yang dilahirkan dapat diserap ke dalam sektor aeroangkasa.

“Jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, tidak mempunyai keupayaan dan bakat untuk menyesuaikan diri, seterusnya tidak akan menjadi destinasi pilihan,” katanya keada pemberita pada Persidangan Kepimpinan Strategik Aeroangkasa 2026 anjuran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), di sini, semalam.

Menurut Johari, perubahan reka bentuk pesawat menuntut pembekal menyesuaikan keupayaan masing-masing bagi memenuhi keperluan pengeluar yang sentiasa berkembang mengikut kemajuan teknologi.

“Keupayaan Malaysia memenuhi kriteria antarabangsa, termasuk dari segi bakat, teknologi dan kestabilan politik, menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menarik peluang perniagaan daripada pengeluar pesawat utama dunia,” katanya.

Katanya, Boeing dan Airbus adalah dua pengeluar pesawat utama dunia, manakala peluang bagi syarikat Malaysia turut bergantung pada kemampuan mereka memenuhi keperluan pelanggan dalam rantaian bekalan global.

Dalam konteks itu, Johari berkata, syarikat yang menyediakan komponen perlu memenuhi keperluan pelanggan, termasuk mendapatkan bahan mentah yang bersesuaian bagi menghasilkan komponen yang diperlukan.

“Pengeluar atau pelanggan akan mendapatkan komponen daripada pembekal berdasarkan keperluan masing-masing, manakala pesanan bergantung pada kemampuan pembekal menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan,” katanya.

Johari turut menyentuh kepentingan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain peranannya dalam rantaian bekalan aeroangkasa.

Beliau berkata, Malaysia berdepan kekangan untuk membangunkan keseluruhan struktur pesawat sendiri kerana keupayaan sedemikian memerlukan kapasiti menyeluruh, termasuk kemudahan pengujian.

Tambahnya, pengukuhan keupayaan tenaga kerja dan kompetensi teknologi penting bagi membolehkan industri tempatan terus memenuhi keperluan pelanggan serta menyesuaikan diri dengan perkembangan sektor aeroangkasa.

Jelasnya, keperluan pesawat komersial baharu dianggarkan sekitar 40,000 unit dalam tempoh 20 tahun akan datang, berbanding kira-kira 35,000 pesawat ketika ini.

“Perubahan reka bentuk pesawat dan perkembangan teknologi memerlukan pembekal terus menyesuaikan keupayaan masing-masing supaya kekal relevan dalam rantaian bekalan industri berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, nilai industri aeroangkasa Malaysia ketika ini sekitar RM32.5 bilion, dengan sasaran meningkat kepada RM55 bilion menjelang 2030 berdasarkan pelan hala tuju industri. – UTUSAN

The post Industri aeroangkasa perlu perkukuh tenaga mahir tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved