
SEREMBAN – Pekarangan Stadium Paroi bertukar menjadi lautan biru apabila lebih 10,000 penyokong membanjiri lokasi itu malam tadi bagi menghadiri Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Kehadiran ribuan penyokong sejak petang lagi mencerminkan keyakinan serta semangat akar umbi terhadap BN menjelang hari pengundian yang dijadual berlangsung pada awal Ogos ini.
Suasana di sekitar stadium semakin meriah apabila penyokong daripada pelbagai kawasan di Negeri Sembilan memenuhi pekarangan sambil mengibarkan bendera parti dan memberikan sokongan kepada barisan kepimpinan gabungan itu.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan kepimpinan utama UMNO termasuk Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Kemuncak majlis menyaksikan ketibaan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya serta mengumumkan calon-calon BN yang akan bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Mohamad Hasan dalam ucapannya menyeru seluruh jentera parti supaya bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan BN di Negeri Sembilan.
“Kita mesti bekerja bersungguh-sungguh, mengetepikan segala perbezaan dan turun bertemu rakyat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sebenar BN bukan hanya terletak pada calon yang diketengahkan, tetapi juga kesatuan jentera dan sokongan padu akar umbi di setiap kawasan.
PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan 36 kerusi DUN dipertandingkan dengan BN meletakkan calon di 25 kerusi, manakala bakinya ditandingi rakan gabungan Kerajaan Perpaduan.
Kehadiran puluhan ribu penyokong pada majlis berkenaan dilihat memberi suntikan semangat kepada jentera BN yang kini bersiap sedia menghadapi tempoh rasmi berkempen selepas proses penamaan calon.






