
KUALA LUMPUR: Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi akan mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kementerian Luar memaklumkan bahawa El-Sisi akan diiringi menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Mesir dalam Lawatan Negara sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Jun 2014.
“Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1959. Kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan mesra dan akrab menerusi kerjasama yang kukuh di peringkat dua hala serta pelbagai hala.
“Lawatan negara Presiden El-Sisi dijangka memperkukuh lagi perkongsian yang telah lama terjalin dan kian berkembang antara kedua-dua negara menerusi peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa lawatan itu, El-Sisi akan diberikan Majlis Sambutan Negara, diikuti dengan Majlis Menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menghoskan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden El-Sisi dan delegasi beliau.
Wisma Putra memaklumkan bahawa El-Sisi turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin kemudian akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir, diikuti dengan Majlis Minum Petang Rasmi yang dihoskan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika.
Jumlah dagangan Malaysia dengan Mesir bernilai RM3.08 bilion (AS$0.60 bilion) dan nilai import dari Mesir berjumlah RM0.53 bilion (AS$0.12 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (AS$0.87 bilion).-BERNAMA
The post Lawatan sulung El-Sisi ke Malaysia perkukuh hubungan dua hala appeared first on Utusan Malaysia.






