LAWI Germany milik Citaglobal dan rakan konsortium raih kontrak tenaga daripada sisa RM52.1 juta di Thailand

Business & FinanceEnvironment
5 Oct 2026 • 6:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LAWI Germany milik Citaglobal dan rakan konsortium raih kontrak tenaga daripada sisa RM52.1 juta di Thailand Image from: LAWI Germany milik Citaglobal dan rakan konsortium raih kontrak tenaga daripada sisa RM52.1 juta di Thailand johardy05/10/2026 - 18:04 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt - LAWI Engineering GmbH, syarikat milik tidak langsung Citaglobal Berhad, bersama rakan konsortiumnya memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM52.1 juta bagi loji dandang stim untuk projek tenaga daripada sisa di Thailand.

 

LAWI Germany menerima surat anugerah dan notis untuk memulakan kerja daripada Siam Power Co., Ltd. pada 5 Oktober bagi projek Siam Power Naklang di wilayah Nakhon Ratchasima, menurut makluman Citaglobal kepada Bursa Malaysia.

 

LAWI Germany dimiliki sebanyak 55% oleh Citaglobal Environment Management, yang merupakan anak syarikat milik 56.14% Citaglobal. Ditubuhkan pada 1996 dan beribu pejabat di Kiel, syarikat itu telah menyiapkan lebih 50 projek loji janakuasa biojisim dan WTE di 10 negara dengan jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang kira-kira 445 megawatt.

 

Bahagian kontrak syarikat Jerman itu bernilai EUR6.33 juta atau kira-kira RM29 juta, manakala rakan konsortiumnya akan melaksanakan skop kerja yang melibatkan bekalan tempatan bernilai THB189.63 juta atau sekitar RM23.1 juta. Kedua-dua nilai tersebut tidak termasuk cukai dan duti yang terpakai.

 

Kontrak itu merangkumi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan loji dandang stim, serta kejuruteraan asas bagi komponen teknologi keseluruhan loji janakuasa tenaga daripada sisa (WTE).

 

Loji janakuasa itu direka untuk memproses sehingga 500 tan sisa pepejal perbandaran sehari dan menjana kira-kira 9.9 megawatt elektrik.

 

Sistem dandang dan peralatan berkaitan disasarkan mencapai operasi komersial dalam tempoh 13 bulan dari tarikh kuat kuasa surat anugerah, iaitu 30 September 2026.

 

Perkukuh rekod di Thailand

Kontrak tersebut menambah portfolio projek LAWI Germany di Thailand, termasuk pembekalan sistem dandang WTE bagi projek di Ayutthaya dan Saraburi, menurut kenyataan berasingan Citaglobal.

 

“Teknologi LAWI sudah digunakan dalam operasi loji janakuasa di seluruh Thailand. Kontrak Siam Power memanfaatkan pengalaman tersebut dengan membawa teknologi pembakaran dan kepakaran kejuruteraan dandangnya ke satu lagi projek tenaga daripada sisa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Citaglobal Environment Management Sdn Bhd, Thye Chee How.

 

“Bagi Citaglobal, pelaburan kami dalam LAWI memberikan kami pegangan dalam perniagaan teknologi yang mempunyai rekod prestasi kukuh di rantau ini. Sistem proprietari dan kepakaran kejuruteraannya menyediakan asas kukuh untuk perniagaan alam sekitar kami meneroka peluang selanjutnya di seluruh Asia Tenggara.”

 

Bagi projek Naklang, LAWI Germany akan mengendalikan keseluruhan kerja kejuruteraan dan pengurusan projek bagi sistem dandang dan peralatan berkaitan, serta menyediakan kejuruteraan asas bagi komponen teknologi keseluruhan loji janakuasa. Syarikat itu juga akan melaksanakan kerja kejuruteraan dan membekalkan sistem pembakaran proprietari LAWI EtaComb Advance S, sistem dan komponen pelengkap, serta sistem pengoptimuman proses LAWI EtaLogic.

 

Rakan konsortium tempatan pula akan mengendalikan kejuruteraan, fabrikasi dan pembekalan komponen yang diperoleh di Thailand, pelepasan kastam serta pengangkutan domestik bagi peralatan import. Tanggungjawabnya turut merangkumi pengurusan tapak, penyediaan peralatan pembinaan berat serta kerja mendirikan, memasang dan mentauliahkan sistem dandang dan peralatan berkaitan.

 

Dijangka menyumbang kepada keuntungan

Citaglobal berkata, bahagian kontrak LAWI Germany dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan, keuntungan sesaham dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Syarikat itu tidak menjangkakan risiko luar biasa selain risiko operasi lazim dan pendedahan kepada risiko pertukaran matawang asing berikutan bahagian kontrak tersebut didenominasikan dalam euro. Langkah sewajarnya akan diambil untuk mengurangkan risiko berkenaan apabila timbul.

 

Siam Power merupakan pemaju dan pengendali loji WTE di Thailand yang dimiliki sebanyak 50% oleh TPC Power Holding Public Company Limited, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham Thailand.

 

Siam Power turut mengendalikan loji WTE komuniti di wilayah Nonthaburi yang memulakan jualan elektrik secara komersial pada 2021 di bawah perjanjian pembelian tenaga berkapasiti 8 megawatt dengan Metropolitan Electricity Authority Thailand. — DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved