johardy05/10/2026 - 11:22 Turbin gas tugas berat Shanghai Electric yang diguna di dalam projek gas di Samalaju, Sarawak. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - Shanghai Electric memperoleh kontrak bagi Unit 3 Projek Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Samalaju di Sarawak, sekali gus menandakan penggunaan pertama di luar negara bagi turbin gas tugas berat yang dihasilkan syarikat China itu.
Projek melibatkan loji janakuasa berkelas 500 megawatt (MW) di Samalaju itu akan menyaksikan Shanghai Electric membekalkan pakej lengkap peralatan utama termasuk turbin gas dan wap, penjana, penjana wap pemulihan haba (HRSG) serta sistem penyejukan udara.
Shanghai Electric juga akan berperanan sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), selain menyediakan perkhidmatan jangka panjang sepanjang kitaran hayat bagi peralatan utama berkenaan, menurut laporan China News Service (CNS).
Kontrak itu merupakan pencapaian penting dalam usaha China mengkomersialkan teknologi turbin gas tugas beratnya di peringkat antarabangsa ketika pengeluar negara itu berusaha meningkatkan penguasaan dalam pasaran global bagi peralatan penjanaan kuasa berteknologi tinggi.
"Ini bukan sekadar eksport peralatan, tetapi satu kejayaan besar bagi turbin gas tugas berat China dalam persaingan komersial antarabangsa," kata Timbalan Ketua Jabatan Perundingan Kejuruteraan Penjanaan Kuasa di China Electric Power Planning & Engineering Institute, Li Wenkai.
Menurut CNS, Shanghai Electric turut menawarkan rumusan bersepadu dengan peralatan teras dihasilkan dalam sistem perindustriannya sendiri dan diselaraskan di bawah satu kerangka projek.

Samalaju jadi ujian komersial teknologi turbin China
Berbeza dengan projek yang menggabungkan peralatan daripada pelbagai pembekal, model itu mengurangkan keperluan pemilik projek atau kontraktor EPC menyelaraskan antara muka, parameter teknikal dan sistem kawalan daripada vendor berlainan.
Pendekatan itu turut menyatukan tanggungjawab, antara muka teknikal, jaminan prestasi dan pengurusan projek di bawah satu kerangka.
Timbalan Pengarah Jawatankuasa Khusus Penjanaan Kuasa Turbin Gas di Chinese Society for Electrical Engineering, Liu Zhitan berkata, Malaysia merupakan pasaran komersial matang dengan pelanggan memilih peralatan berdasarkan teknologi, tempoh penghantaran dan keseluruhan kos sepanjang kitaran hayat.
Menurut beliau, kejayaan memperoleh kontrak itu bermakna produk turbin gas dan rumusan bersepadu Shanghai Electric mula melalui pengesahan komersial dalam pasaran luar negara yang matang.
Shanghai Electric sudah mempunyai kehadiran di Malaysia menerusi beberapa projek tenaga termasuk loji janakuasa arang batu Balingian 2×300MW, projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Selangor serta projek RE TG12.
Di Sarawak, syarikat itu turut menyiapkan talian transmisi 500 kilovolt (kV) sepanjang 106 kilometer dan membangunkan projek mikrogrid luar grid pertama di negeri berkenaan.
Permintaan turbin gas global melebihi kapasiti pengeluaran
Kontrak terbaharu itu diperoleh ketika pasaran turbin gas global berdepan bekalan yang ketat.
Tempahan turbin gas global mencecah kira-kira 90GW hingga 100GW pada 2025 berbanding kapasiti pengeluaran dunia sekitar 55GW hingga 60GW, berdasarkan data yang dipetik CNS.
Ketidakseimbangan bekalan dan permintaan itu menyebabkan pemaju tenaga luar negara yang secara tradisinya bergantung kepada pembekal antarabangsa sedia ada semakin mempertimbangkan penyedia alternatif, khususnya syarikat China yang mampu menawarkan tempoh penghantaran lebih singkat dan rumusan bersepadu, kata Li.
Shanghai Electric menjadikan pengembangan global sebagai keutamaan di bawah Rancangan Lima Tahun Ke-15 China bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Syarikat itu menggariskan tiga peralihan utama iaitu daripada memberi tumpuan membawa projek kejuruteraan ke luar negara kepada meningkatkan eksport peralatan; daripada perdagangan semata-mata kepada pelaburan antarabangsa dalam kapasiti pengeluaran dan rantaian bekalan industri; serta daripada pengembangan luar negara secara bersendirian kepada pembangunan antarabangsa yang lebih luas dan diselaraskan.
Bagi Shanghai Electric, projek Samalaju menunjukkan keupayaan kejuruteraan dan peralatan terasnya di luar China, selain menandakan peralihan daripada pendekatan "peralatan ke luar negara bersama projek kejuruteraan" kepada eksport langsung pakej lengkap peralatan dan rumusan.
Perkembangan itu juga mencerminkan perubahan permintaan pasaran tenaga antarabangsa apabila pemaju luar negara semakin mencari rumusan siap guna yang disokong perkhidmatan jangka panjang, berbanding mendapatkan peralatan secara berasingan daripada pelbagai pembekal. - DagangNews.com





