Layang-Layang Aerospace Gantung Operasi Kumpulan Pesawat Susulan Nahas Di Sarawak

10 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Layang-Layang Aerospace Gantung Operasi Kumpulan Pesawat Susulan Nahas Di Sarawak

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd secara sukarela menggantung operasi kesemua helikopter BO-105 dan pesawat lain menggunakan enjin Rolls-Royce siri 250 sebagai langkah keselamatan susulan nahas helikopter di Sarawak dua hari lepas yang mengorbankan lima nyawa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata keputusan itu dibuat oleh pengendali itu secara sukarela dan tidak boleh dianggap sebagai petunjuk kegagalan teknikal.

"Saya ingin menegaskan penggantungan ini adalah langkah berjaga-jaga. Tindakan itu adalah langkah keselamatan yang diambil oleh pihak pengendali. Keputusan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa enjin atau mana-mana komponen tertentu lain menyebabkan kemalangan itu," katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia (MASS) 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata rekod CAAM menunjukkan Sijil Kelayakan Udara helikopter itu sah sehingga 4 Ogos 2027 manakala Sijil Pendaftaran pesawat itu kekal sah sehingga 28 Julai 2029.

Dalam mengatasi kebimbangan mengenai jangka hayat operasi pesawat, faktor usia semata-mata tidak menentukan kelayakan udara selagi pesawat itu diselenggarakan dengan betul dan terus memenuhi semua protokol penyelenggaraan. katanya.

Baca juga:

“Daripada perspektif kelayakan udara, usia semata-semata bukanlah faktor penentu, dengan syarat pesawat diselenggara dengan betul mengikut program penyelenggaraan yang diluluskan dan terus memenuhi semua keperluan kelayakan udara yang terpakai," katanya.

Norazman berkata CAAM sedang memantau program penggantungan itu dan pemeriksaan oleh pengendali dan pada masa sama mengesahkan rekod kawal selia, pengendali dan juruterbang yang berkaitan.

Beliau berkata siasatan terhadap nahas itu dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Sebarang penemuan yang disahkan mengenai punca kemalangan itu mesti dibuat oleh AAIB selepas pemeriksaan bukti yang teliti. AAIB bertanggungjawab untuk menentukan keadaan, faktor penyumbang dan punca kemalangan," katanya.

Beliau berkata CAAM sedang meneruskan kerjasama penuh dan berkongsi semua rekod yang berkaitan.

Norazman menggesa orang ramai dan media supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca nahas sebelum siasatan selesai.

"Pada peringkat ini terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada kemalangan itu disebabkan oleh masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau sebarang faktor lain," katanya.

Mengenai sama ada pengendali terbabit mempunyai sejarah nahas udara sebelum ini, Norazman berkata CAAM akan menyemak rekod rasminya sebelum mengeluarkan butiran lanjut.

Beliau berkata selaras dengan piawaian Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), AAIB akan mengeluarkan laporan siasatan awal dalam tempoh 30 hari dari tarikh kejadian itu, diikuti laporan akhir dalam tempoh setahun.

Pada Rabu lepas, CAAM dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian pada kira-kira 3.40 petang.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved