
PETALING JAYA – “Helikopter itu jatuh sebelum meletup dan terbakar.”
Demikian kata seorang saksi kejadian yang melihat insiden sebuah helikopter jenis BO-105 yang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, hari ini.
Menurutnya, pesawat berkenaan dipercayai sedang dalam proses untuk melakukan pendaratan sebelum kejadian berlaku.
“Kejadian berlaku ketika nak (mendarat) sudah di hujung padang Long Lellang,” katanya hari ini.
Saksi sama memberitahu, sebelum itu dia melihat helikopter berwarna kuning itu terbang dalam keadaan enjinnya terbakar dan berasap menuju ke Lapangan Terbang Long Lellang.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.
CAAM memaklumkan pihaknya menerima notifikasi mengenai kejadian tersebut daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) pada pukul 3.58 petang.
Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dengan lima individu berada di dalamnya termasuk juruterbang.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah turut mengesahkan kejadian berkenaan.
Bagaimanapun katanya, status kesemua mangsa masih dalam siasatan dan dalam tindakan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter KKM: Saksi lihat pesawat berasap, terhempas, meletup dan terbakar appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Nahas helikopter KKM: Juruterbang baik, layan kerenah penumpang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/helikopter-fds-1024x581.jpeg)


