LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan April 2027

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 6:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan April 2027 Image from: LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan April 2027 sarah07/10/2026 - 18:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt -- Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pada April 2027, tanpa perubahan lagi terhadap tarikh penyerahan yang ditetapkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Beliau berkata, Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Kewangan akan memastikan tiada lagi kelewatan berterusan dalam projek LCS yang dilaksanakan oleh Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS).

 


"Saya percaya dengan kerjasama dan komitmen Kementerian Kewangan, kali ini LUNAS tidak akan mengubah lagi tarikh penghantaran dan akhirnya serahan kapal kepada Kementerian Pertahanan tetap akan dibuat pada April 2027," katanya ketika menjawab perbahasanLaporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat.

 


Mohamed Khaled berkata, kementeriannya mengambil serius dapatan LKAN berhubung pengurusan Projek LCS, termasuk kelewatan yang menyebabkan perubahan tarikh penyiapan dan penyerahan LCS 1.

 


Menurut beliau, LKAN setakat 25 Jun 2026 mendapati kemajuan fizikal LCS 1 berada pada 85.47% berbanding tahap sepatutnya, menunjukkan kelewatan sebanyak 13.88%.


Bagaimanapun, sehingga Ogos 2026, kemajuan LCS 1 meningkat kepada 86.39%, iaitu 13.61% lebih rendah daripada sasaran.

 


"Ini bermakna peratusan tahap kelewatan telah dikecilkan sebanyak 0.27%," katanya.

 


Bagi keseluruhan projek LCS pula, tahap kemajuan meningkat kepada 80.13% setakat Ogos berbanding 78.99% ketika audit dijalankan, namun masih menunjukkan kelewatan sebanyak 9.14%.

 


Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan juga telah mengeluarkan notis makluman Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada LUNAS sebagai tanda kementerian tidak berkompromi dengan kelewatan projek berkenaan.

 


"Kementerian akan mengambil segala langkah dan mekanisme untuk memantau pelaksanaan Projek LCS," katanya.

 


Beliau berkata LUNAS dimiliki Kementerian Kewangan dan kementeriannya tidak mahu sebarang kelewatan berterusan berlaku dalam projek tersebut.

 


"Saya percaya Kementerian Kewangan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menjaga nama baik kementerian kerana LUNAS adalah milik Kementerian Kewangan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved