Penyerahan kapal LCS 1 ditunda lagi, kini dijangka April 2027

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 6:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyerahan kapal LCS 1 ditunda lagi, kini dijangka April 2027 Image from: Penyerahan kapal LCS 1 ditunda lagi, kini dijangka April 2027 sarah07/10/2026 - 18:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama, LCS 1, ditangguhkan kepada April 2027, iaitu empat bulan lewat daripada sasaran terbaharu pada Disember 2026.

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontraktor Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas) telah memaklumkan kepada kementerian bahawa pihaknya tidak lagi dapat memenuhi komitmen terdahulu untuk menyerahkan LCS 1 pada Disember ini.

 

Beliau berkata, kelewatan itu berpunca daripada beberapa kerja yang masih belum diselesaikan, termasuk pemasangan paip, pendawaian kabel, pemasangan peralatan dan pemeriksaan.

 

Kerja-kerja berkenaan kemudiannya perlu diikuti dengan proses pengujian dan pentauliahan sebelum kapal itu dapat diserahkan.

 

“Lunas telah memaklumkan kepada saya bahawa syarikat itu tidak dapat memenuhi komitmen terdahulu dan memberi jaminan bahawa LCS 1 boleh diserahkan pada Disember 2026.

 

“Sebaliknya, Lunas memberikan tarikh baharu, dengan LCS 1 dijangka diserahkan pada April 2027,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat.

 

Mohamed Khaled berkata, kementeriannya mengambil serius dapatan LKAN berhubung pengurusan Projek LCS, termasuk kelewatan yang menyebabkan perubahan tarikh penyiapan dan penyerahan LCS 1.

 

Menurut beliau, LKAN setakat 25 Jun 2026 mendapati kemajuan fizikal LCS 1 berada pada 85.47% berbanding tahap sepatutnya, menunjukkan kelewatan sebanyak 13.88%.

 

Bagaimanapun, sehingga Ogos 2026, kemajuan LCS 1 meningkat kepada 86.39%, iaitu 13.61% lebih rendah daripada sasaran.

 

"Ini bermakna peratusan tahap kelewatan telah dikecilkan sebanyak 0.27%," katanya.

 

Bagi keseluruhan projek LCS pula, tahap kemajuan meningkat kepada 80.13% setakat Ogos berbanding 78.99% ketika audit dijalankan, namun masih menunjukkan kelewatan sebanyak 9.14%.

 

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan juga telah mengeluarkan notis makluman Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada LUNAS sebagai tanda kementerian tidak berkompromi dengan kelewatan projek berkenaan.

 

"Kementerian akan mengambil segala langkah dan mekanisme untuk memantau pelaksanaan Projek LCS," katanya.

 

Beliau berkata LUNAS dimiliki Kementerian Kewangan dan kementeriannya tidak mahu sebarang kelewatan berterusan berlaku dalam projek tersebut.

 

"Saya percaya Kementerian Kewangan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menjaga nama baik kementerian kerana LUNAS adalah milik Kementerian Kewangan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved