
Kota Kinabalu: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyasarkan untuk bertanding di satu atau dua kerusi Parlimen majoriti Cina di Sabah di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum akan datang.
Presidennya Datuk Chin Su Phin mengenal pasti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sebagai antara kerusi berkenaan daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah.
“LDP akan mencari peluang untuk mewakili GRS khususnya di kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan.
“LDP telah berkhidmat kepada masyarakat Cina tanpa mengenal penat lelah dan dengan penuh dedikasi termasuk ketika saya pernah dilantik sebagai Pengerusi Bahagian Barisan Nasional (BN) Sandakan.
“Saya percaya komitmen dan rekod perkhidmatan LDP akan mendapat sokongan pengundi Cina,” katanya ketika merasmikan Persidangan Bersama Bahagian LDP Sandakan pada Ahad.
Beliau berkata LDP merupakan sebuah platform politik yang kukuh dan stabil dengan sejarah penubuhan selama 30 tahun.
Katanya, parti itu secara konsisten mempertahankan prinsip dan pendirian politiknya sekali gus meraih pengiktirafan serta sokongan rakyat.
Terdahulu dalam ucapannya, Chin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri pada November 2022 ketika Malaysia berdepan tempoh yang amat mencabar.
“Sejak Anwar memegang jawatan, negara kita telah berdepan pandemik Covid-19, kesan kewangan susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain kesan perang Rusia-Ukraine, konflik Israel-Gaza dan yang terbaru perang Iran di peringkat global yang menyebabkan lonjakan mendadak harga minyak serta peningkatan inflasi.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan terus meningkatkan kedudukannya dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
“Di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia telah meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan utama, menarik pelabur asing utama yang menyatakan keyakinan terhadap potensi pembangunan negara kita,” katanya.
Beliau berkata parti itu memahami kebimbangan rakyat Malaysia berhubung peningkatan kos sara hidup serta langkah reformasi yang dilaksanakan kerajaan termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pelaksanaan e-Invois.
“Walaupun reformasi diperlukan demi kebaikan negara, kita menggesa kerajaan supaya mendengar keluhan rakyat dan melakukan penambahbaikan bagi meringankan beban mereka.
“Pada masa sama, kita perlu memahami bahawa proses reformasi sentiasa berdepan cabaran pada peringkat awal, namun ia akan memberikan manfaat berkekalan kepada negara dalam jangka panjang,” katanya.
Chin berkata terdapat gesaan supaya Anwar berundur sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan ditukar susulan pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini walaupun tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi hanya berakhir pada penghujung 2027.
“Sehingga kini Anwar telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama lebih sedikit daripada tiga tahun. Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) telah mentadbir Malaysia selama enam dekad.
“Oleh itu adalah tidak adil untuk membandingkan pencapaian Anwar dalam tempoh tiga tahun lalu dengan rekod BN sepanjang lebih 60 tahun memegang tampuk pemerintahan,” katanya.
“Rakyat Malaysia harus terus menyokong Kerajaan Perpaduan untuk melengkapkan tempoh pemerintahannya dengan pilihan raya umum diadakan selepas mandatnya tamat tahun depan.”Sejak Anwar memegang jawatan, beliau berkata Malaysia telah merekodkan rizab antarabangsa sebanyak AS$123.8 bilion serta pelaburan berjumlah RM378.5 bilion iaitu paras tertinggi yang pernah dicatatkan.




