Dua lelaki ditahan disyaki curi kabel

17 Aug 2026 • 4:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Dua lelaki ditahan disyaki curi kabel

KENINGAU: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity (SE) di kawasan Sabah Land Development Board (SLDB), Apin-Apin, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari, 12 Ogos lalu, polis turut menemui 49 gulung potongan kabel yang dipercayai milik SE serta beberapa komponen disyaki berkaitan senjata api buatan sendiri di sebuah pondok kebun getah di Jalan Bundu, Apin-Apin.

Ketua Polis Daerah Keningau, ISuperintenden Yampil Anal Garai berkata, kedua-dua suspek yang ditahan ialah lelaki berusia 39 tahun dari Kampung Bariawa Ulu dan lelaki berusia 30 tahun dari Kampung Liau Laut, Keningau.

“Pemeriksaan di dalam pondok berkenaan menemukan kabel yang disyaki milik SE dalam keadaan telah dikupas, selain serpihan kulit kabel.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa komponen yang disyaki komponen senjata api dalam keadaan telah dilerai dan diletakkan di tepi dinding pondok,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara barang yang dirampas ialah 49 gulung potongan kabel, dua bilah pisau buatan sendiri, dua pemotong dawai, sebuah mesin pemotong besi dan sebuah alat penimbang.

Polis turut merampas satu komponen senjata api bahagian udi dan satu komponen bahagian laras untuk siasatan lanjut.

Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku pergi ke kawasan SLDB, Apin-Apin, kira-kira jam 1 pagi pada hari sama menggunakan sebuah kereta sewa bagi tujuan mencuri kabel.

Siasatan mendapati kenderaan itu disewa selama tiga hari dengan kadar RM130 sehari daripada sebuah syarikat di Kota Kinabalu.

Menurut polis, suspek berusia 39 tahun mengaku berperanan membuka dan memotong kabel menggunakan pemotong, manakala rakannya berusia 30 tahun bertindak sebagai pemantau keadaan sekeliling.

Modus operandi mereka adalah membuka gulungan kabel menggunakan besi yang bergulung pada kabel sebelum kabel dipotong kepada bahagian kecil dan dimasukkan ke dalam bonet serta tempat duduk belakang kenderaan.

Suspek mendakwa aktiviti memotong kabel mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit sebelum mereka bergerak ke pondok kebun getah di Jalan Bundu untuk menyimpan kabel yang dicuri.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek menafikan mengetahui kewujudan atau memiliki komponen senjata api yang ditemui polis di dalam pondok berkenaan.

Kedua-duanya turut mendakwa pondok itu digunakan sebagai tempat berkumpul dan menyimpan kabel selepas aktiviti kecurian dilakukan serta mengaku kejadian berkenaan merupakan kali pertama mereka melakukan kecurian kabel.

Semakan rekod mendapati suspek berusia 39 tahun mempunyai lima rekod berkaitan narkotik dan satu rekod jenayah, manakala suspek berusia 30 tahun mempunyai dua rekod berkaitan narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Polis turut menjalankan siasatan di tempat kejadian, merakam gambar dan menyediakan rajah kasar lokasi, selain mendaftarkan semua barang kes.

Kedua-dua suspek juga telah dibawa untuk tindakan permohonan reman dan siasatan lanjut, termasuk rakaman percakapan serta pemeriksaan berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved