amree13/10/2026 - 10:20 PENGURUSAN Leader Energy bergambar disertai (dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan, Jenny Ng; Pengarah, Datin Seri Jessica H'ng; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sean H'ng; Pengasas, Tan Sri H'ng Bok San; Ketua Pegawai Kewangan, Ronnie Koo; dan Pengarah Projek Mohd Nizam Mohd Nawi. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Leader Energy Group Berhad memperkukuh keupayaan tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) skala grid berkapasiti 100 megawatt (MW) dan 400 megawatt-jam (MWh) di Pajam, Negeri Sembilan.
Menurutnya dalam kenyataan, projek terbaharu itu menandakan langkah penting kumpulan untuk terus memperluaskan perniagaan penyimpanan tenaga, selain menyokong kestabilan bekalan elektrik dan integrasi lebih banyak RE ke dalam grid di Semenanjung Malaysia.
Tambah kumpulan tersebut, projek berkenaan dibangunkan menerusi anak syarikatnya, Leader Energy Storage Sdn Bhd, di bawah program bidaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Malaysia (MyBeST), dengan pentauliahan operasi premis dijadualkan bermula tahun depan.
"Sistem berkapasiti 100MW/400MWh itu membolehkan tenaga elektrik disimpan dan dilepaskan apabila diperlukan, sekali gus membantu mengimbangi perubahan bekalan dan permintaan elektrik serta meningkatkan fleksibiliti sistem grid," jelas Leader Energy.
Pengalaman kumpulan dalam teknologi itu dibina menerusi projek perintis bateri natrium-sulfur (NAS) berkapasiti 1.45MWh di loji solar Leader Solar Energy II di Bukit Selambau, Kedah, yang disepadukan dengan sistem fotovolta solar bersambung grid berkapasiti 20MWac.
Projek perintis itu memenangi anugerah Teknologi Pemangkin RE dalam kategori Penyerahan Khas pada Malaysia National Energy Awards 2025, selain menjadi calon peringkat akhir kategori Penyimpanan Tenaga pada Enlit Asia Power & Energy Awards 2026.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng berkata, pengalaman daripada projek perintis berkenaan memberikan kumpulan pemahaman praktikal mengenai integrasi penyimpanan bateri dengan penjanaan solar.
"Pembangunan di Pajam membina asas tersebut bagi memperluas keupayaan penyimpanan tenaga berskala grid dan menyokong fasa seterusnya kepada agenda peralihan tenaga Malaysia sendiri," tambah beliau.
Ujarnya, peningkatan kapasiti RE memerlukan sistem elektrik yang lebih fleksibel untuk mengurus perbezaan antara waktu tenaga dijana dengan waktu permintaan sebenar berlaku, manakala penyimpanan bateri dapat membantu memenuhi keperluan tersebut.
Program MyBeST yang ditadbir Suruhanjaya Tenaga (ST) merangkumi empat projek BESS bersambung grid,. Secara keseluruhan, program itu menyediakan kapasiti 400MW dan kapasiti penyimpanan tenaga 1,600MWh, dengan semua projek dijadualkan ditauliahkan pada 2027.
Inisiatif itu menyokong matlamat jangka panjang Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada loji bahan api fosil bagi memenuhi permintaan puncak, mengurangkan kos sistem serta mencapai sasaran 70% kapasiti RE menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Bagi Leader Energy, projek berkenaan turut memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia infrastruktur tenaga bersepadu yang merangkumi penjanaan tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan penghantaran elektrik di Asia," katanya.- DagangNews.com






